fariszolkefli

UNIVERSIADE 2023: GANJARAN LUMAYAN BUAT ATLET RAIH EMAS

UNIVERSIADE 2023: GANJARAN LUMAYAN BUAT ATLET RAIH EMAS

July 21, 2023 8:22 am

KUALA LUMPUR, 21 JULAIGanjaran lumayan menanti barisan atlet negara yang berjaya membawa pulang emas pertama di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China dari 28 Julai hingga 8 ogos depan.

Seramai 35 atlet lelaki dan 31 atlet wanita akan beraksi dalam lapan acara iaitu terjun, taekwando, badminton, wushu, olahraga, memanah, renang dan menembak dengan acara taekwando, wushu dan badminton mempunyai prospek cerah untuk membutirkan pingat buat negara.

Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia, Azirin Abdul Aziz berkata, pada edisi kali ini kontinjen negara menyasarkan untuk meraih tiga pingat tanpa mengira warna selepas pada edisi lalu di Napoli, Itali kontinjen berjaya meraih satu pingat gangsa dalam acara taekwondo.

“Barisan atlet negara kini sudah bersedia dan mereka pastinya akan memberikan yang terbaik untuk merealisasikan sasaran untuk membawa pulang pingat tidak kira apa warna.

“Kita juga berharap warna pingat itu akan berubah kepada kilauan emas sulung untuk di bawa pulang ke Malaysia kali ini.

“Jika di Napoli kita dapat satu gangsa, kali ini di Chengdu saya harap mereka akan buat lebih baik kerana kita mempunyai atlet terbaik dan bertaraf dunia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Universiti Dunia 2023, Chengdu, China.

Malaysia mula menyertai Universiade pada tahun 1985 di Kobe, Jepun dan pencapaian terbaik negara ialah sewaktu edisi 2017 di mana kontinjen negara meraih tiga perak dan tiga gangsa di Taipei, Taiwan.

Di Chengdu, China nanti, Kontinjen Malaysia bakal mengambil bahagian dalam lapan daripada 18 acara sukan yang dipertandingkan. Keseluruhannya, seramai 96 orang atlet dan pegawai yang akan bersama kontinjen negara.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Universiade2023

Kredit: Harian Metro

Sumber gambar: Sukan IPT