haziq

MALAYSIA INTAI GELARAN JUARA RAGBI WANITA ASIA B-20

MALAYSIA INTAI GELARAN JUARA RAGBI WANITA ASIA B-20

July 25, 2023 7:57 am

LABUAN, 25 JULAI – Malaysia akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Ragbi Wanita Bawah 20 (B-20) 2023 di Kathmandu, Nepal pada 17-24 Ogos ini dengan rata-rata skuad negara dibarisi pemain dari pasukan Labuan.

Menurut Presiden Persatuan Ragbi Labuan (LA), Rashid Adlie, daripada 15 pemain, 10 pemain datang dari Labuan, dua masing-masing dari Terengganu dan Sarawak, dan seorang dari Selangor.

“Dengan anggota pasukan yang dibarisi pemain berbakat dan berpengalaman, pasukan ragbi kebangsaan menyasarkan untuk mendominasi kejohanan serantau dan membawa pulang kejuaraan berprestij itu.

“Atlet-atlet ini telah menunjukkan dedikasi, kemahiran dan kerjasama berpasukan yang hebat sepanjang proses pemilihan, saya yakin dengan keupayaan mereka untuk bertanding pada peringkat tertinggi dan mengharumkan nama negara,” katanya

Zaryssa Awang Daniel daripada Pasukan Labuan dilantik sebagai kapten bersama Mary Teresa (kapten simpanan) dan diperkuatkan dengan kehadiran pemain sayap lincah, Siti Nursyamimi Tajudin dan Nur Alia Nabilla Samsubahari dari Terengganu.

“Berbaki beberapa minggu sahaja sebelum perlawanan, atlet-atlet berbakat ini akan menjalani kem latihan berpusat minggu depan di Labuan sebagai persediaan,” tambah beliau.

Pasukan Ragbi Wanita Labuan bawah 20 tahun merangkul gelaran naib juara Kejohanan Ragbi 7-Sebelah Peringkat Kebangsaan hujung minggu lalu.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Ragbi Perak itu menyaksikan pasukan Labuan terpaksa akur tewas kepada pasukan Terengganu dengan skor 10-24 pada perlawanan akhir.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #RagbiMalaysia #KejohananRagbiWanitaBawah20

Kredit: Bernama

Sumber gambar: BES Labuan