KLSC RAI ULANG TAHUN KE-25, PERKENAL INISIATIF DEKATI ORANG AWAM
KLSC RAI ULANG TAHUN KE-25, PERKENAL INISIATIF DEKATI ORANG AWAM
July 26, 2023 7:24 am
KUALA LUMPUR, 26 JULAI – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, telah merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Kuala Lumpur Sports City (KLSC) bertempat di lobi utama Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City, semalam.
Majlis turut dihadiri oleh Anggota Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), rakan strategik dan pimpinan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Sejak memulakan operasi pada tahun 1998, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selaku badan yang menguruskan KLSC atau sebelum ini dikenali sebagai Kompleks Sukan Negara telah membuktikan peranannya sebagai badan pengelola stadium yang efisien dimana beberapa penganjuran acara bertaraf antarabangsa telah disempurnakan dengan cemerlang antaranya Sukan Komanwel 1998, Sukan SEA 2001 dan Sukan SEA 2017.
Selepas 25 tahun, KLSC terus mengorak langkah bukan hanya menyasarkan penganjuran sukan berprestij antarabangsa sahaja, malah untuk menyediakan fasiliti hiburan dan gaya hidup kepada rakyat dimana ia lebih komprehensif dan bukan tertumpu kepada aktiviti sukan sahaja.
Pelantikan anggota PSM yang baharu bagi sesi 2023/2025 yang diketuai oleh Dato’ Gerald Hans Isaac telah jelas dengan halatuju terkini PSM yang diumumkan KBS iaitu untuk menekankan berkenaan pengurusan fasiliti, tadbir urus korporat serta untuk memastikan segala perancangan merakyatkan fasiliti PSM dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Bagi mendukung halatuju ini beberapa inisiatif telah digerakkan antaranya: pembukaan trek larian Stadium Nasional kepada orang awam yang dibuka secara percuma pada hari yang ditetapkan, penganjuran Program kolaborasi PSM bersama D Swim Academy (DSA) dalam menganjurkan program renang untuk golongan rakyat B40, membuka peluang penggunaan stadium untuk rakyat yang tidak berpeluang menggunakan stadium di peringkat komuniti dan sekolah, memaksimakan sewaan venue dan program rekreasi, dan pemantapan strategi promosi dan publisiti.
Lebih istimewa, sempena ulang tahun ke-25 KLSC, pelaksanaan konsep merakyatkan sukan melalui penggunaan fasiliti sukan di bawah PSM telah dipersetujui oleh Mesyuarat Anggota Perbadanan pada 17 Julai 2023 dengan pemberian secara percuma untuk kegunaan Sambutan Hari Sukan Sekolah tertakluk kepada kekosongan jadual tempahan fasiliti – Antara fasiliti yang terlibat adalah Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara. Manakala penggunaan trek dan fasiliti di Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City dibuka untuk penggunaan sekolah selepas projek menukar rumput selesai pada bulan Oktober 2023.