BUKIT JALIL, 2 OGOS – 28 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita berusia bawah 19 tahun akan merebut gelaran Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2023 mulai 3 Ogos hingga 19 Ogos ini.
Musim ini bakal menyaksikan 140 perlawanan dilangsungkan di empat venue rasmi dengan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil merupakan venue bagi kategori Lelaki Divisyen 1 serta aksi final bagi semua kategori.
Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka, merupakan venue bagi Kategori Lelaki Divisyen 2, Zon Selatan dan Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang, bagi Kategori Lelaki Divisyen 2, Zon Utara sementara Stadium Hoki KPM Lembah Pantai, Kuala Lumpur bagi kategori Wanita.
10 pasukan akan bertanding dalam Kategori Lelaki Divisyen Satu termasuk Juara dan Naib Juara Divisyen dua musim 2022 iaitu DBKL HT dan SSBJ Junior.
Sementara itu, saingan Lelaki Divisyen Dua merangkumi 18 pasukan manakala 16 pasukan telah dibahagikan kepada empat kumpulan dan empat pasukan dalam setiap kumpulan bagi Kategori Wanita.
Terdapat pertambahan empat pasukan baru dalam Divisyen 2 Lelaki dan tujuh pasukan baru bagi Kategori Wanita sekali gus menjadikan kejohanan ini sebagai platform terbaik untuk menyerap pemain berkualiti ke pasukan remaja kebangsaan yang akan beraksi di Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki, Kuala Lumpur 2023 mulai 5 Disember hingga 16 Disember 2023.
Datuk Seri Dr. Anil Sandhu dipilih sebagai Pengarah Kejohanan dan akan dibantu oleh Penolong Pengarah Kejohanan iaitu P. Kuganeson.