KLSCM CATAT PENYERTAAN TERTINGGI DALAM SEJARAH PENGANJURAN
KLSCM CATAT PENYERTAAN TERTINGGI DALAM SEJARAH PENGANJURAN
August 3, 2023 8:45 am
KUALA LUMPUR, 3 OGOS – Lebih 40,000 peserta akan menyertai Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 30 September hingga 1 Oktober ini, bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah Projek KLSCM, Rainer Biemans, jumlah peserta untuk edisi tahun ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah KLSCM.
“Kita ada 38,000 pendaftaran sebelum meningkat kepada 40,000, jadi jumlah ini yang paling ramai yang pernah kita ada.
“Tahun ini juga menyaksikan acara larian jarak jauh terulung di Malaysia itu menampilkan kumpulan terbesar pacer atau pelari berpengalaman dalam sejarahnya kerana kami turut memperkenalkan pacer untuk kategori 10km,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya lagi, empat kategori akan dipertandingkan pada acara itu iaitu maraton penuh 42.2km, separuh maraton 21.1km, kategori jarak 10km dan 5km serta kategori Kids Dash 1km dan 2km.
Sebanyak 24 pacer akan membantu pelari dalam kategori maraton penuh, manakala lapan pacer akan ditugaskan bagi separuh maraton dan buat kali pertama, akan ada lapan lagi pacer dalam kategori 10km.
Terdahulu, KLSCM edisi 2022 diadakan di tengah-tengah tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan cuaca monsun yang merekodkan penyertaan 34,000 orang.