fariszolkefli

PELUMBA ARGENTINA & INDONESIA HANGATKAN SAINGAN PUSINGAN 3 FIM MINIGP 2023

PELUMBA ARGENTINA & INDONESIA HANGATKAN SAINGAN PUSINGAN 3 FIM MINIGP 2023

August 4, 2023 8:43 am

LANGKAWI, 4 OGOS – Saingan FIM MiniGP Malaysia Series 2023 kembali ke Litar MORAC Adventure Park Langkawi hujung minggu ini, 5 dan 6 Ogos dengan para pelumba bersaing kembali berbekalkan pengalaman berharga berlumba di litar yang sama pada pusingan lepas. 

Para pelumba dijangka menggunakan sepenuhnya ilmu dan kemahiran yang telah ditimba untuk mencipta keputusan yang lebih cemerlang buat diri masing-masing dan mungkin mencipta kejutan terhadap para pendahulu kejuaraan sekarang.

Walaupun rata-rata semua pelumba turun dengan persiapan rapi pada pusingan lepas, ternyata ada dalam kalangan mereka telah melakukan persiapan tambahan di tahap yang lebih tinggi sekali gus membolehkan mereka mendominasi saingan ketiga-tiga kelas perlumbaan, yang berlangsung pada 16 Julai lepas.

“Saya rasa semua pelumba tahu apa yang perlu mereka lakukan untuk menempatkan diri mereka di kalangan kumpulan pendahulu dengan kejuaraan memasuki saingan pertengahan musim. Saya yakin ramai yang telah belajar daripada apa yang berlaku pada Pusingan 2 untuk  mencipta kejutan pada saingan Pusingan 3 ini,” kata Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, yang juga Pengarah Acara Kejuaraan SIC Ohvale Junior Championship dan FIM Malaysia MiniGP Series 2023 ini. 

Saingan Pusingan 3 turut menyaksikan penyertaan sulung penunggang berusia 15 tahun dari Argentina, Valentin Perrone Canton dan pelumba Indonesia Louis Abelhard, yang juga berusia 15 tahun, dalam saingan kelas 190cc. Kejuaraaan FIM MiniGP 160cc akan menyaksikan penampilan penunggang baharu antarabangsa, Davino Britani dari Indonesia yang berusia 14 tahun.

Pada saingan Pusingan 2, kelas perdana FIM MiniGP 160cc, yang memperuntukkan dua tempat untuk bersaing pada Kejuaraan Dunia di Valencia, Sepanyol pada November ini, menyaksikan saingan rapat antara juara bertahan Qabil Irfan Azlan dan Ariel Marzuki, yang masing-masing memenangi tempat pertama dan kedua untuk kedua-dua perlumbaan; dengan Nguyen Viet Tuan dan Qayyim Razim mengambil salah satu daripada kedudukan ketiga. 

Kelas 110cc SIC Ohvale Junior Championship pula menyaksikan penguasaan penuh Aidil Zariff pada kedua-dua perlumbaan pada Pusingan 2; dengan Cheung Yan Kit mengambil tempat kedua pada Perlumbaan 1, dan Qasha Irfan memenangi tempat kedua pada Perlumbaan 2 di samping memenangi tempat ketiga pada Perlumbaan 1. 

Kelas 190cc, yang diperkenalkan pada Pusingan 2 dan menampilkan pertarungan sembilan pelumba menggunakan jentera Ohvale, menyaksikan saingan antara dua bekas pelumba negara pada Kejuaraan Dunia MiniGP 160cc – Farish Hafiy Farid Sezli dan Farres Putra Fadhill; dengan diekori rapat oleh Ahmad Darwisy. Walaupun Farish Hafiy memenangi kedua-dua perlumbaan pada Pusingan 2, jarak kemenangan ke atas Farres Putra adalah terlalu tipis; sekali gus menyerlahkan kemungkinan keputusan yang berbeza pada Pusingan 3 ini. 

Selepas tiga pusingan, Qabil Irfan mendahului saingan kelas 160cc FIM MiniGP dengan mengumpul 100 mata untuk mendahului Airel Marzuki di tempat kedua dengan kelebihan 20 mata. Kejuaraan SIC Ohvale Junior diungguli oleh Aidil Zariff, yang mengumpul 100 mata dengan Fahim Naufal di tempat kedua dengan 66 mata. Kelas baharu 190cc menyaksikan Faris Hafiy memimpin dengan 50 mata; 10 mata di hadapan Farres Putra di tempat kedua.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #FIMMiniGPMalaysiaSeries2023 

Sumber gambar: ZK Racing