fariszolkefli

KEJOHANAN FUTSAL YES HIMPUN PESERTA NEGARA ASEAN

KEJOHANAN FUTSAL YES HIMPUN PESERTA NEGARA ASEAN

August 8, 2023 9:54 am

PUCHONG, 8 OGOS – Bersempena dengan Sambutan Hari ASEAN ke-56 yang jatuh pada 8 Ogos setiap tahun, Pusat Belia Antarabangsa (IYC) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kovra Sdn. Bhd. menganjurkan Kejohanan Futsal Youth Expatriate Sports (YES) yang diadakan hari ini bertempat di Spacerubix, Puchong.

Kejohanan Futsal YES ini dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, Pengarah IYC, Dr Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated, Ahmed Faris dan delegasi daripada Majlis Olimpik Malaysia. 

Kejohanan ini menjadi medan bagi golongan muda bukan warganegara, khususnya dari negara ASEAN dan warganegara Malaysia yang berusia 18 hingga 40 tahun untuk menyerlahkan bakat mereka di gelanggang futsal. Program ini adalah kesinambungan daripada kejayaan penganjuran siri lepas yang berlangsung pada Oktober 2022, yang menyaksikan penyertaan daripada 19 pasukan dari 12 buah negara ASEAN dan juga luar daripada negara ASEAN.

Matlamat penganjuran kejohanan ini adalah untuk menggalakkan aktiviti sukan untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan peserta, ahli, staf, peminat, dan komuniti global, kebangsaan serta tempatan. Ia juga bertujuan menggalakkan aktiviti sukan dan gaya hidup sihat golongan ekspat yang tinggal di Malaysia. Selain itu, ia juga dapat menambah baik hubungan antarabangsa antara peserta dan penganjur.

IYC percaya bahawa sukan mampu menyumbang kepada pembangunan yang mampan, khususnya dalam memakmurkan keamanan dan kebersamaan dalam setiap peringkat kerana sukan adalah medan yang efektif untuk menyatukan masyarakat. 

Ia adalah komponen utama dalam membawa semangat patriotik dan kesatuan di dalam dan juga luar negara. Sukan juga mempunyai potensi besar untuk memperkasa, menggalak dan memberi inspirasi untuk jutaan manusia di seluruh dunia.

Selain itu, IYC juga berharap dengan penganjuran program ini, pihak lain juga mempunyai peluang untuk menganjurkan program secara bersama di masa hadapan, yang akan memberikan manfaat untuk semua, khususnya buat rakyat Malaysia.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #TeamKBS #ASEANDay #YESFutsalTournament2023