MAVA JALIN KERJASAMA DENGAN KELAB BOLA TAMPAR PROFESIONAL JEPUN
MAVA JALIN KERJASAMA DENGAN KELAB BOLA TAMPAR PROFESIONAL JEPUN
August 10, 2023 5:51 am
SHAH ALAM, 8 OGOS – Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) menjalinkan kerjasama dengan kelab bola tampar wanita profesional Kurashiki Ablaze yang berpangkalan di Okayama-ken, Jepun melalui satu majlis menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) yang berlangsung hari ini di Dewan Bola Tampar MBSA, Shah Alam.
Kerjasama ini bertujuan untuk membangunkan sukan bola tampar di dalam negara, khususnya buat pemain wanita dan remaja wanita serta membuka ruang dan peluang untuk mereka mengasah bakat dalam sukan bola tampar.
Menurut Ketua Jurulatih pasukan Kurashiki Blaze, Hideo Suzuki, selain dapat memberi peluang kepada pemain Malaysia meningkatkan teknik permainan, kerjasama ini juga dapat membantu mengukuhkan hubungan antara Jepun dan Malaysia.
“Saya amat gembira dapat menjalinkan kerjasama ini. Pihak kami dan juga MAVA akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk pemain yang terlibat.
“Menerusi kerjasama ini saya berharap kita dapat meningkatkan mutu permainan mereka serta dapat mempelajari teknik-teknik yang dipraktikkan oleh pemain dari Jepun agar mereka berhasil memberikan prestasi yang terbaik,” ujar Hideo ketika ditemui pemberita sebentar tadi.
Majlis Menandatangani MoU ini turut dihadiri Presiden MAVA, Hean Boon Yeow dan juga Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Majlis Sukan Negara, Suhardi Alias serta Dato’ Shalin Zulkifli, menyampaikan Kod Sukan Selamat di majlis itu.
Pasukan Kurashiki Blaze yang berada selama dua hari di Malaysia turut terlibat dengan beberapa aktiviti seperti lawatan ke Sekolah Menengah Chung Hua, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan siri latihan bersama pasukan bola tampar PDRM, Selangor dan Kuala Lumpur.