LABUAN, 17 OGOS – Skuad ragbi wanita negara telah melengkapkan latihan intensif berpusat mereka di Labuan bagi menghadapi Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Lelaki dan Wanita B20 Asia di Kathmandu, Nepal dari 19 hingga 20 Ogos ini.
Menurut Timbalan Chef de Mission, Sukor Ashak, para pemain mempamerkan keyakinan dan dedikasi tinggi semasa latihan, memberikan harapan cerah untuk aksi hebat dalam pertandingan yang amat dinantikan itu.
“Di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, pasukan ini menjalani sesi latih tubi bagi tujuan mempertingkatkan kemahiran mereka dan kerjasama sepasukan.
“Pemain menumpukan pelbagai aspek dalam permainan termasuk ketangkasan, stamina, strategi dan komunikasi,” katanya selepas penyerahan bendera Jalur Gemilang daripada Pengerusi Majlis Sukan Labuan, Rithuan Ismail kepada Kapten Skuad Ragbi Kebangsaan Zaryssa Awang Daniel, semalam.
Rithuan berkata ragbi wanita telah menunjukkan kemajuan ketara beberapa tahun ini dan penyertaan skuad ragbi wanita Malaysia dalam Kejohanan Tujuh Sebelah B20 Asia adalah bukti kerja keras dan dedikasi mereka.
“Kami bangga melihat atlet muda melangkah ke pentas antarabangsa dengan keyakinan dan penuh semangat, komitmen mereka menjadi inspirasi kepada wanita di seluruh negara yang bercita-cita menjadi atlet. Kejohanan Tujuh Sebelah B20 Asia menjanjikan saingan yang mengujakan dengan pasukan-pasukan dari seluruh benua bakal mempamerkan kehebatan mereka,” katanya.
Zaryssa yang berasal dari Labuan berkata pasukannya terdiri daripada 13 pemain, masing-masing empat dari Labuan dan Sarawak, dua dari Terengganu serta masing-masing seorang pemain dari Selangor, Johor dan Pulau Pinang dan mereka menyasarkan untuk membawa pulang sebutir pingat untuk negara.
Sebanyak 11 pasukan akan bertanding dalam kejohanan itu dan dalam kejohanan lelaki, pasukan dari Taiwan, Malaysia, Thailand, Nepal, India, Hong Kong dan Uzbekistan akan beraksi bagi merebut gelaran juara.
Sementara itu dalam pertandingan wanita menyaksikan tuan rumah Nepal berhadapan, Hong Kong, Malaysia dan Thailand.