AMPANG, 18 OGOS – Seramai 82 pelatih Kelab Bolasepak Ampang Jaya (AJFC) mempamerkan bakat dalam kejohanan mini di Laman Rekreasi Kencana Indah, baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi AJFC, Abdul Halim Osman berkata, ia membabitkan pelatih bagi kategori bawah lapan tahun serta 10 tahun dan kejohanan diadakan sempena ulang tahun ke-31 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Tambah beliau lagi, bagi kategori lapan tahun, seramai 40 pelatih mengambil bahagian dan dipecahkan kepada lapan pasukan manakala kategori 10 tahun pula membabitkan 42 pelatih yang dipecahkan kepada enam pasukan.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan semuanya berjalan lancar.
“Pelatih seronok kerana setiap orang menerima medal manakala juara hingga tempat keempat turut menerima hamper.
“Ini kali pertama kejohanan dalaman membabitkan kategori umur diadakan kerana biasanya kami terbabit untuk program hari tanpa kenderaan MPAJ.
“Ia diadakan pada minggu kedua setiap bulan dan kami menganjurkan kejohanan dengan menjemput pasukan luar yang biasanya antara 24 hingga 32 pasukan,” katanya.
AJFC yang ditubuhkan pada 2012 mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan komuniti di sekitar Ampang Jaya.
MPAJ yang bertindak sebagai penaung memberi sokongan utama membabitkan penyediaan padang serta logistik dan pengangkutan sekiranya terbabit dalam kejohanan atau aksi persahabatan di luar.
“Pelatih kami dibahagikan kepada lima kategori iaitu dari umur enam, tujuh dan lapan tahun (lapan tahun), sembilan dan 10 tahun (10 tahun), 11 dan 12 tahun (12 tahun), kategori 13 dan 14 tahun serta kategori 15 dan 16 tahun.
“Secara keseluruhan pada tahun ini, ada 150 pelatih yang dibimbing lapan jurulatih termasuk bekas pemain negeri dan kelab.
“Kami mengajar akar umbi daripada asas atau kosong sehingga dia boleh tendang bola dan menyediakan platform untuk mengembangkan bakat sejauh mungkin.
“Ramai pelatih kami menyertai Pusat Latihan Daerah (PLD) selain terus diambil bekerja dengan syarikat swasta untuk beraksi dalam liga tertentu,” katanya yang menyatakan AJFC mengenakan yuran bulanan RM50 kepada setiap pelatih.