fariszolkefli

ISN INSPIRE – LEGASI KECEMERLANGAN SUKAN NEGARA

ISN INSPIRE – LEGASI KECEMERLANGAN SUKAN NEGARA

August 22, 2023 8:58 am

KUALA LUMPUR, 22 OGOS – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, merasmikan Program ISN Inspire 2023 yang bertempat di Dewan Perdana, Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.

Majlis ISN Inspire yang bertemakan ‘It’s Time to Inspire’ yang merupakan simbolik kepada peranan penting ISN dalam kemajuan sukan adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun ISN yang ke-12 pada 16 September ini. 

ISN juga berkenan untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif-inisiatif baharu dalam majlis pada hari ini bertepatan dengan peranan ISN sebagai sebuah agensi sukan berprestasi tinggi negara yang bertunjangkan sains, perubatan dan teknologi sukan.

Selain itu, bersempena dengan Majlis ISN Inspire, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut mengumumkan pelantikan seramai 6 orang Ahli Lembaga ISN yang baharu bagi melengkapkan keanggotaan lembaga ISN. 

Pelantikan ini dilihat bakal mencetuskan impak yang positif kepada ISN dalam memacu kecemerlangan negara dalam bidang sains, perubatan dan teknologi sukan berdasarkan pengalaman luas individu-individu yang dilantik dalam bidang kepakaran masing-masing.

Menurut YB Hannah, pelantikan barisan Ahli Lembaga ISN yang baharu ini mampu mendukung visi dan misi KBS dalam memperkukuh peranan ISN sebagai peneraju ekosistem sukan prestasi tinggi serta  penyelidikan dan inovasi sukan bertaraf dunia.

Pada 15 Ogos yang lalu, sebuah mesyuarat lembaga ISN yang pertama melibatkan anggota-anggota yang baharu telah diadakan dengan beberapa perkara substantif telah dibincangkan dan dipersetujui seperti: ISN selaku pemacu dalam membudayakan amalan terbaik dalam ekosistem sukan prestasi tinggi negara, memperhebat kolaborasi serta kerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan seperti universiti dan sektor swasta, memacu sistem pendidikan kejurulatihan bertaraf antarabangsa, memperkasa aspek penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi sukan berimpak tinggi, dan memantapkan ekosistem pembangunan bakat di peringkat sekolah.

Majlis ISN Inspire ini turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Dato’ Sri Megat D. Shahriman Dato’ Zaharudin, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Ahli Lembaga Institut dan pemimpin-pemimpin di bawah agensi KBS.

Sumber gambar: BERNAMA

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #ISNInspire #It’sTimetoInspire