fariszolkefli

26 DELEGASI ANTARABANGSA TERUJA SERTAI HARI TERBUKA SIC

26 DELEGASI ANTARABANGSA TERUJA SERTAI HARI TERBUKA SIC

August 23, 2023 6:37 am

SEPANG, 23 OGOS – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan jayanya telah mengadakan Hari Terbuka SIC yang dihadiri oleh lebih daripada 70 individu, ketua misi dan delegasi kedutaan dari seluruh dunia seperti Austria, Cuba, Italy, Japan, Poland, Uruguay, Thailand, Uzbekistan, Kenya, Russia, Nigeria, Bangladesh, Colombia, India dan lain-lain untuk mempamerkan fasiliti dan tawaran yang ada.

Hari Terbuka SIC merupakan sebuah inisiatif dan pemangkin untuk meyakinkan pemegang taruh industri sukan permotoran di Malaysia dan seterusnya menjadikan SIC dan Malaysia sebagai destinasi pilihan di ASEAN untuk acara bertaraf dunia. Delegasi yang hadir berpeluang untuk meneroka sekitar SIC termasuk trek, lorong pit, paddock, dan kemudahan sukan yang lain.

“SIC telah menjalankan pelbagai acara permotoran berprestij bertaraf antarabangsa seperti Formula 1 Grand Prix (F1), Malaysia Motorcycle Grand Prix (MotoGP™ Malaysia), World Superbike Championship (WSBK), FIM Endurance World Championship (EWC) and FIA World Touring Car Cup (WTCR) di Malaysia.

“Acara utama yang dianjurkan di SIC dan kesan limpahannya telah membantu meningkatkan industri pelancongan dan ekonomi negara melalui perbelanjaan penduduk tempatan dan pelancong antarabangsa serta bilangan pekerjaan yang dicipta. Tahun ini, pelaburan besar sebanyak RM20 juta telah disalurkan untuk menaik taraf kemudahan sukan dengan hasrat untuk menarik lebih banyak acara dan menjadikan ia lebih mudah untuk diakses oleh rakyat Malaysia,” kata YB Hannah.

SIC berhasrat untuk memberi inspirasi kepada generasi baharu dan sebagai hab sukan permotoran serta edutainment yang canggih di wilayah ini. Selama bertahun-tahun, SIC telah berjaya menganjurkan pelbagai acara sukan permotoran dan SIC akan terus mempelbagaikan pendapatan dan mengembangkan keuntungannya. Ia akan menjadi satu pembaziran jika aset bernilai berbilion ringgit tidak digunakan sepenuhnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan SIC memainkan peranan penting dalam memupuk golongan belia dan ekosistem sukan. Sambil menekankan status SIC sebagai hab utama sukan permotoran di rantau Asia Tenggara, SIC akan terus memupuk bakat muda untuk menyumbang kepada pembangunan holistik landskap sukan negara dan membawa venue lebih dekat dengan rakyat Malaysia, dengan membuka ruang yang bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan acara di luar sukan permotoran.

Sumber gambar: SIC

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #SepangInternationalCircuit #SIC #SICOpenDay2023