KUALA LUMPUR, 24 OGOS – Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memberi komitmen kepada pihak Sekretariat ASEAN dalam ASEAN Work Plan on Sports bagi tahun 2021 – 2025 untuk melaksanakan ASEAN+ Doping Control Officer Symposium yang telah dibuat menerusi beberapa aktiviti yang telah disahkan semasa 6th ASEAN Ministerial Meeting on Sports yang dipengerusikan oleh Singapura pada 28 Oktober 2021.
Komitmen ini ditampilkan dengan penganjuran ASEAN+ Doping Control Officer Symposium 2023 yang diadakan pada 23 – 24 Ogos di Impiana KLCC Hotel, Kuala Lumpur dan disertai 120 orang Pegawai Kawalan Doping dari negara-negara ASEAN termasuk rakan dialog dari Jepun dan Korea Selatan.
Penceramah dan panel daripada pelbagai agensi anti-doping telah dijemput untuk berkongsi dan membuat pembentangan mengenai isu dan topik utama pengujian kawalan doping dengan memfokuskan bidang pengujian kawalan doping seperti pembangunan kapasiti Pegawai Kawalan Doping, perubahan landskap, jangkaan dan cabaran dalam pengujian kawalan doping, aktiviti pendidikan anti-doping serta pengurusan, pemantauan dan penilaian Pegawai Kawalan Doping.
Pegawai Kawalan Doping merupakan nadi kepada sesebuah organisasi anti-doping dan mereka bertanggungjawab dalam memastikan proses pengambilan sampel ujian urin/darah atlet semasa dalam pertandingan (incompetition) atau di luar pertandingan (out-competition) agar menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak World Anti-Doping Agency (WADA).
Kehadiran Pegawai Kawalan Doping dari pelbagai negara akan memberi peluang bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan bersama pengamal anti-doping antarabangsa terutama yang melibatkan aspek teknikal seperti pengujian, pengurusan keputusan dan penyiasatan kerana anti-doping merupakan satu bidang yang kompleks dan dinamik berdasarkan trend dan isu semasa.
Simposium ini dianjurkan dengan objektif untuk: membuktikan komitmen Malaysia sebagai sebuah negara yang menyokong amalan budaya bersukan yang bersih dan adil, melalui inisiatif memantapkan barisan Pegawai Kawalan Doping di peringkat serantau selaras dengan World Anti-Doping Code dan piawaian antarabangsa, menyediakan platform latihan berbentuk teori dan praktikal di samping berkongsi ilmu dan penemuan terkini dalam aspek teknikal pengujian, penyiasatan serta tanggungjawab Pegawai Kawalan Doping di peringkat antarabangsa, dan memberikan nilai tambah, ilmu dan pengetahuan kepada para Pegawai Kawalan Doping dalam membantu merealisasikan hasrat ke arah sukan bebas doping.
Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada 34th Southeast Asian Games (SEA Games) di mana ADAMAS akan memainkan peranan penting dalam memastikan Program Kawalan Doping dilaksanakan dengan teratur dan berkesan serta memenuhi piawaian Antarabangsa.
Simposium ini turut mendapat kerjasama dan kolaborasi Agensi Antarabangsa seperti World Anti-Doping Agency (WADA), Pejabat Rantau Asia/Oceania, Japan Anti-Doping Agency (JADA), Korea Anti-Doping Agency (KADA), International Paralympic Committee (IPC), International Testing Agency (ITA), dan Sportradar AG, St. Gallen, Switzerland.
Komitmen Malaysia terhadap anti-doping meluas melebihi simposium ini. Secara khusus, Memorandum Persefahaman (MoU) yang sedang berkuatkuasa iaitu MoU antara Malaysia dan Jepun, berkuatkuasa dari 24 Mei 2022 – 23 Mei 2027 di mana MoU ini turut mengandungi klausa berkaitan anti-doping. Tambahan itu, pada 14 Mac 2022 yang lalu, ASEAN dan WADA telah turut menandatangani MoU untuk mengukuhkan lagi pembangunan program anti-doping di rantau Asia Tenggara semasa 17th Asia/Oceania Region Intergovernmental Meeting on AntiDoping in Sport, di Dubai, UAE.