fariszolkefli

40 ATLET KE SUKAN ASIA HANGZHOU JALANI UJIAN DOPING

40 ATLET KE SUKAN ASIA HANGZHOU JALANI UJIAN DOPING

August 25, 2023 9:06 am

KUALA LUMPUR, 25 OGOSSeramai 40 atlet negara yang bakal menyertai Sukan Asia Hangzhou 2022 di China, terlibat dalam ujian doping yang dikendalikan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) bulan lepas.

Menurut Pengarah ADAMAS, Azura Abidin, pihak ADAMAS telah menjalankan ujian secara rawak kepada atlet daripada beberapa jenis sukan yang berpotensi menyumbang pingat buat negara pada temasya empat tahun sekali itu.

“Kami telah mengambil sampel daripada atlet terlibat dan keputusan ujian doping dijangka diketahui pada pertengahan September sebelum mereka berangkat ke Hangzhou.

“Saya mengharapkan agar tiada atlet negara yang sangkut ujian doping dijalankan kami,” katanya.

Tambah Azura lagi, sekiranya terdapat atlet disahkan positif doping, mereka yang terlibat tidak dibenarkan beraksi di Sukan Asia dan boleh dikenakan hukuman maksimum sehingga empat tahun, bergantung kepada bahan terlarang diambil.

Bagaimanapun, atlet yang disahkan positif masih mempunyai hak untuk membuat rayuan kepada jawatankuasa panel pendengaran ADAMAS.

Seramai 415 orang, merangkumi 292 atlet (191 lelaki dan 101 wanita) dan 123 jurulatih serta pegawai bakal membawa cabaran kontinjen negara ke Sukan Asia kali ini.

Sukan Asia Hangzhou 2022 yang ditangguh susulan COVID-19 tahun lepas dijadualkan bermula pada 23 September hingga 8 Oktober ini.

Kredit: BERNAMA

Sumber gambar: KBS

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #AntiDopingMalaysia #ADAMAS