fariszolkefli

HASRAT PERSATUAN SUKAN MILIKI TEMPAT LATIHAN DITUNAIKAN

HASRAT PERSATUAN SUKAN MILIKI TEMPAT LATIHAN DITUNAIKAN

August 29, 2023 7:27 am

KUALA LUMPUR, 29 OGOS – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, telah mengumumkan hasil daripada inisiatif 1Sukan 1Fasiliti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertempat di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.

Langkah ini adalah penting bagi semua persatuan sukan kebangsaan (PSK) mempunyai home-base atau tempat yang tetap untuk berlatih demi pembangunan sukan negara. 

Walaupun penyediaan tempat latihan adalah tanggungjawab PSK, inisiatif 1Sukan 1Fasiliti adalah usaha KBS untuk menyokong PSK dalam usaha mereka untuk mendapatkan tempat latihan yang tetap bagi tujuan pembangunan prestasi dan bakat sukan.

Objektif utama inisiatif 1Sukan 1Fasiliti ini adalah untuk memperkasakan persatuan sukan agar dapat meningkatkan kualiti pengurusan dan pembangunan tadbir urus yang lebih baik, teratur, sistematik dan bertaraf antarabangsa dan mengoptimumkan penggunaan fasiliti dan kemudahan sukan sedia ada, sama ada di bawah pengurusan kerajaan mahupun swasta.

Sejak bulan April 2023, KBS telah menerima dan mempertimbangkan sebanyak lapan (8) permohonan daripada PSK yang mana telah dipadankan dengan fasiliti dan kemudahan di bawah KBS, kementerian/ agensi kerajaan dan juga pihak swasta. Senarai padanan di bawah inisiatif 1Sukan 1Fasiliti adalah seperti berikut:

  1. Persatuan Sukan Larian Berhalangan Malaysia (MORSA) – Ruang Parkir, Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
  2. Persatuan Korfball Malaysia – Dewan Tertutup, Kompleks Sukan Negara (Panasonic), Shah Alam.
  3. Persatuan Teqball Malaysia – Dewan Serbaguna Akademi Sukan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
  4. Persatuan Finswimming Malaysia – Akademi Sukan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
  5. Persatuan Sofbol Malaysia (Sofbol) – Padang Sofbol, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
  6. Persatuan Sofbol Malaysia (Baseball 5) – Padang Sofbol, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
  7. Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) – MRANTI Park, Bukit Jalil (TPM), Kuala Lumpur.
  8. Persekutuan Hoki Ais Malaysia – IOI Icescape Ice Rink, IOI City Mall, Putrajaya.

Sehubungan dengan itu, KBS menyeru mana-mana pemilik fasiliti sukan, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun swasta untuk tampil ke hadapan bagi menawarkan fasiliti sukan kepada PSK demi pembangunan bakat serta prestasi sukan negara.

Sumber gambar: Hannah Yeoh

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #1Sukan1Fasiliti