fariszolkefli

HARI SUKAN NEGARA DISAMBUT 14 OKTOBER INI

HARI SUKAN NEGARA DISAMBUT 14 OKTOBER INI

September 5, 2023 8:34 am

PUTRAJAYA, 5 SEPTEMBER – Sambutan Hari Sukan Negara 2023 peringkat kebangsaan (HSN2023) akan diadakan pada 14 Oktober depan bertempat di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual akan merasmikan sambutan itu.

Menurut Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, HSN2023 pada tahun ini yang bertemakan #FitMalaysia akan menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sukan dan rekreasi di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan bermula 13 hingga 15 Oktober ini.

“HSN2023 merupakan agenda nasional yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober dengan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup sihat,” katanya dalam sidang media sempena pelaksanaan Hari Sukan Negara 2023 di KBS hari ini.

Tambahnya lagi, penganjuran HSN2023 juga selaras dengan kerangka Malaysia Madani dan Visi Sukan Negara 2030. HSN2023 pada tahun ini dijangka menarik penyertaan seramai 4.5 juta orang di seluruh negara.

Bagaimanapun, HSN2023 di Sarawak akan diadakan pada 28 Oktober bagi memberikan laluan kepada Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Yang di Pertua (TYT) Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Terdahulu, YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan telah mempengerusikan Mesyuarat JK Induk Hari Sukan Negara bertempat di Menara KBS yang mana turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, YB Datuk Ellron Angin, beberapa EXCO Belia dan Sukan Negeri, wakil kementerian/ jabatan/ agensi dan sebagainya.

Seterusnya, Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS dan Tuan Mohd Azhari Mohammad, Ketua Pengarah JBSN menyaksikan simbolik penyerahan komitmen selaku rakan strategik penganjuran kepada beberapa organisasi korporat dan swasta

Untuk rekod, edisi pertama HSN pada 2015 yang telah menempa nama dalam Malaysia Book Of Records sebagai Penganjuran Aktiviti Sukan Terbanyak Secara Serentak dalam Satu Hari dengan jumlah 17,648 aktiviti sukan, berjaya menarik penyertaan keseluruhan seramai lebih lima juta orang.

Sumber gambar: JBS Negara

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #HariSukanNegara2023 #HSN2023