Bersempena dengan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan sukan persahabatan bersama-sama komuniti Korea melalui Kedutaan Besar Republik Korea dan juga Majlis Sukan Korea di Malaysia. Acara ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Korea melalui sukan dan pertukaran budaya.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, serta diserikan dengan kehadiran Chung Suk Kyoon, Konsul Jeneral Kedutaan Republik Korea di Malaysia dan Lee Won Kyu, Pengerusi Majlis Sukan Korea di Malaysia.
“Acara ini berfungsi sebagai platform untuk belia daripada kedua-dua negara untuk melibatkan diri dalam pertandingan sukan persahabatan, memupuk semangat kesukanan dan saling memahami. Sukan bukan hanya tentang persaingan; ia boleh menjadi alat yang berkuasa untuk membina jambatan dan mencipta hubungan yang berkekalan,” kata YB Hannah.
“Penyertaan ini mengesahkan hubungan diplomatik yang berkekalan antara kedua-dua negara. Semoga kehadiran kami dapat mengeratkan lagi ikatan antara kita. Hubungan diplomatik ini juga merangkumi rakyat dengan rakyat, dan acara ini menyerlahkan lagi kepentingan antara kedua-kedua negara,” kata Chung.
Acara yang diadakan di Stadium Juara pada 10 September itu mempamerkan kekayaan warisan budaya kedua-dua negara melalui pelbagai aktiviti. Daripada gimnastik Malaysia ke Tarian Drum Korea, Wushu Malaysia kepada Geum-Do Korea dalam kategori Seni Mempertahankan Diri, pertukaran budaya antara kedua-dua negara dapat dipamerkan dengan jelas.
Pertandingan sukan yang dirasmikan oleh Menteri dan Duta Besar, adalah pelbagai, memenuhi keperluan peserta daripada kumpulan umur yang berbeza; sama ada sukan Badminton untuk Beregu Lelaki, Beregu Wanita dan Campuran Beregu, atau Futsal dengan kategori untuk Senior, Dewasa, dan Belia, acara ini menggalakkan penyertaan peserta daripada semua peringkat umur.
Dasar Pandang Ke Timur, pada mulanya dilancarkan untuk mendapatkan pengetahuan mengenai amalan terbaik dari negara Asia Timur seperti Korea, yang bukan sahaja mencapai matlamatnya tetapi juga telah berkembang menjadi platform untuk meraikan persahabatan yang berkekalan serta kerjasama antara Malaysia dan Korea. Bersempena dengan 40 tahun dasar ini terlaksana, acara ini juga menjadi peringatan kepada kerjasama yang telah membentuk hubungan antara kedua-dua negara.