TANJUNG MALIM, 12 SEPTEMBER – Sebanyak 285 pingat emas, perak dan gangsa bakal menjadi rebutan para atlet yang menyertai Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA 9) yang berlangsung di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula pada 10 hingga 16 September ini.
Majlis perasmian Perkampungan SIPMA 9 disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikukum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Zainuren Mohd. Nor bertempat di Dewan Kolej Harun Aminurrashid, UPSI, kelmarin.
SIPMA 9 menyaksikan penyertaan lapan majlis sukan di bawah KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM), Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Malaysia (MASISWA), Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM), Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM) serta Majlis Sukan Kolej Vokasional Malaysia (MASKoV).
SIPMA 9 anjuran Majlis Institut Pendidikan Guru Malaysia itu mempertandingkan sebanyak lapan acara iaitu olahraga, bola sepak, bola jaring, bola tampar, renang, tenpin boling, hoki dan badminton.
Menurut Zainuren, SIPMA yang diadakan dua tahun sekali ini dapat membuka peluang bagi pelajar institusi pendidikan Malaysia membabitkan diri dengan lebih kompetitif dalam konteks pembudayaan sukan dalam kalangan pelajar dan juga menjadi landasan kepada atlet untuk bertanding di peringkat lebih tinggi sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, sekali gus mengangkat kecemerlangan sukan negara.
“KPM berperanan memastikan pelajar bergiat aktif dalam sukan tanpa mengabaikan pembangunan akademik selaras dengan Dasar Sukan Negara yang menyokong Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang ingin melahirkan pelajar seimbang dan harmoni dari segi intelek, semangat, emosi dan jasmani,” katanya.
Tambah Zainuren lagi, sejak SIPMA diadakan sebagai kejohanan sukan bertaraf kebangsaan, ia telah berjaya melahirkan 61 atlet yang mewakili negara bertaraf Olimpian, selaras dengan aspirasi negara.
Turut hadir ketika majlis perasmian berlangsung adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin; Ketua Penolong Pengarah Kanan Pusat Hal Ehwal Pelajar IPGM, Dr. Ts. Shamsul Saniron serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd. Izwan Shahril.
Majlis perasmian diserikan lagi dengan persembahan nyanyian oleh band dari Institut Pendidikan Guru Ipoh berjudul ‘Rajawali Terbang Tinggi’, ‘Melompat Lebih Tinggi’.