fariszolkefli

PETRONAS GP MALAYSIA TAWAR TIKET RAHMAH BUAT PEMINAT TEMPATAN

PETRONAS GP MALAYSIA TAWAR TIKET RAHMAH BUAT PEMINAT TEMPATAN

September 13, 2023 9:03 am

KUALA LUMPUR, 13 SEPTEMBER – Buat julung kalinya, penganjuran PETRONAS Grand Prix of Malaysia edisi ke-24 yang akan berlangsung pada 10 hingga 12 November depan bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menawarkan pengalaman baharu buat peminatnya dengan tawaran tiket rahmah buat pengunjung.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengetuai inisiatif untuk membuat sukan permotoran dapat diakses oleh semua rakyat Malaysia dengan pengenalan Tiket Rahmah untuk K2 Hillstand yang berharga RM49.90. Selain itu, pemegang Tiket Rahmah juga dapat menikmati akses kepada makanan dan minuman dengan harga yang rendah, selaras dengan objektif inisiatif yang diperkasakan oleh KBS.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, pihak KBS mengiktiraf kejayaan PETRONAS Grand Prix of Malaysia kerana meletakkan Malaysia di atas peta dunia sebagai destinasi sukan permotoran dan akan terus menyokong SIC bagi penganjuran aktiviti berkaitan permotoran.

KBS juga melihat acara permotoran sebagai platform yang baik untuk pemerkasaan golongan belia. Acara gilang-gemilang seperti ini mempunyai potensi untuk memberi inspirasi kepada generasi muda bagi mempelajari kemahiran bagi menempa jalan kejayaan dalam sukan ini.

Pada edisi kali ini, tema #KasiGegar telah dipilih bagi menggegarkan Litar Sepang semasa perlumbaan berlangsung. Selain itu, bagi memeriahkan lagi acara, SIC akan memberikan 3 unit Yamaha R25 edisi terhad yang dinaik taraf oleh Racing Boy (RCB) sebagai sebahagian daripada hadiah Cabutan Bertuah Mega MotoGP™, juga penjualan topi keledar SIC x KYT Edisi Terhad yang direka eksklusif untuk MotoGP™ Malaysia. 

Peminat tempatan juga berpeluang untuk menemui pelumba kegemaran mereka bersaing pada hari perlumbaan apabila pelumba yang meningkat naik, Syarifuddin Azman yang juga dikenali sebagai Damok akan bersaing bagi kategori Moto3™ dan juga empat lagi pelumba tempatan iaitu Farres Putra, Farish Hafiy, Ahmad Darwisy dan Adi Putra akan beraksi dalam Pusingan 5 Idemitsu Asian Talent Cup sebagai perlumbaan sokongan MotoGP™.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #PETRONASGrandPrixofMalaysia #MotoGP #MalaysiaGP #KasiGegar #SepangCircuit