fariszolkefli

KBS LANCAR JUALAN SUKAN RAHMAH SEMPENA HARI MALAYSIA DAN HARI SUKAN NEGARA

KBS LANCAR JUALAN SUKAN RAHMAH SEMPENA HARI MALAYSIA DAN HARI SUKAN NEGARA

September 14, 2023 5:03 am

PETALING JAYA, 14 SEPTEMBER – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Sekretariat Industri Sukan (SIS) dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan Jualan Sukan Rahmah (JSR) 2023 pada 16 September hingga 15 Oktober 2023.

Majlis perasmian JSR telah disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, bertempat di The Curve, Mutiara Damansara pada hari ini. Turut hadir bagi menyerikan majlis adalah Ketua Setiausaha KBS, Ts. Dr. Nagulendran Kangayakaratsu.

Insiatif penganjuran JSR diambil daripada konsep Jualan Rahmah iaitu jualan barangan pada kadar murah yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah inisiatif payung rahmah yang bertujuan untuk membantu rakyat berjimat ketika berbelanja.

“Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September dan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) pada 10 Oktober, KBS akan mengadakan program Jualan Sukan Rahmah yang mempunyai situasi menang-menang kerana rakyat memperoleh potongan harga barangan dan peralatan sukan manakala pemain industri sukan mampu menaikkan hasil jualan.

“Saya juga akan menjadikan Jualan Sukan Rahmah sebagai inisiatif tetap tahunan KBS pada masa hadapan. Saya berharap agar lebih banyak lagi syarikat-syarikat yang akan mengambil bahagian,” kata YB Hannah ketika Majlis Pelancaran Jualan Sukan Rahmah sebentar tadi.

Sebanyak 10 buah syarikat peruncitan sukan telah bersetuju untuk menjayakan program yang julung kali diadakan ini, yang mana ia akan diadakan secara fizikal di cawangan syarikat yang mengambil bahagian serta jualan dalam talian.

Senarai syarikat yang mengambil bahagian adalah: Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd (187 cawangan), Gatti (M) Sdn Bhd (27 cawangan), Leonian (Malaysia) Sdn Bhd (20 cawangan), MST Golf Group Berhad (1 cawangan), Team Delta Rovers Malaysia Sdn Bhd (1 cawangan), Maxx Sports Sdn Bhd (2 cawangan), Original Classic Holdings Sdn Bhd (71 cawangan), Hakka Clo Pit (1 cawangan), Pro Apparel Group Sdn Bhd (1 cawangan), dan Decathlon Malaysia Sdn Bhd (14 cawangan).

Dengan adanya program seumpama ini, ia akan meningkatkan lagi kadar rakyat Malaysia untuk bergiat aktif dalam kegiatan sukan dan rekreasi serta dapat meningkatkan Indeks Budaya Sukan Negara, sekali gus dapat menggalakkan lebih ramai rakyat untuk terlibat dalam kegiatan sukan dan melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas; selari dengan Visi Sukan Negara 2023 iaitu Malaysia mencapai status Negara Bersukan menjelang tahun 2030.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #JualanSukanRahmah #HariSukanNegara2023 #HSN2023