fariszolkefli

FIM MINIGP: TIKET KE VALENCIA SEMAKIN JADI REBUTAN

FIM MINIGP: TIKET KE VALENCIA SEMAKIN JADI REBUTAN

September 15, 2023 8:33 am

SEPANG, 15 SEPTEMBERSaingan kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 2023, yang menawarkan empat tiket ke perlumbaan World Finals di Valencia, Sepanyol, akan diteruskan hujung minggu ini bertempat di Sepang International Karting Circuit (SIKC), yang turut menjadi  medan saingan penutup musim bulan depan.

Dengan berbaki dua pusingan dan 100 mata kejuaraan yang menjadi rebutan, saingan masih terbuka luas walaupun ia mungkin berpihak kepada beberapa pelumba yang mengaut kesempatan sepenuhnya daripada pertarungan di Litar UNIMAP, Perlis dan Litar MORAC Adventure Park di Langkawi.

Dengan jarak 1.166km dan 11 selekoh mencabar, SIKC adalah mini replika kepada litar utama Sepang International Circuit (SIC), yang bakal menganjurkan PETRONAS GRAND PRIX OF MALAYSIA 2023 dan edisi ke-24 MotoGP™ Malaysia pada 10 hingga 12 November ini. 

Selepas tiga pusingan, saingan FIM MiniGP Malaysia 160cc diterajui oleh juara bertahan, Qabil Irfan Azlan, yang telah mengutip 145 mata; dengan kelebihan 37 mata ke atas Airel Marzuki, yang menduduki tempat kedua dengan mengumpul 108 mata kejuaraan. Tempat ketiga diduduki oleh penunggang muda dari Vietnam, Nguyen Viet Tuan, yang memiliki 97 mata; dengan disusuli oleh Qayyim Razin di tempat keempat, 71 mata.

Saingan kelas 160cc, yang juga dalam pencarian dua wakil negara ke perlumbaan World Finals di Valencia, didahului oleh Farres Putra, yang mengumpul 76 mata selepas dua pusingan. Rakan karib, Farris Hafiy menduduki tempat kedua dengan 70 mata untuk mendahului Ahmad Darwisy di tempat ketiga dengan 56 mata. Penunggang Argentina, Valentin Parron menduduki tempat keempat dengan 50 mata.

Saingan jentera-jentera 110cc dalam SIC Ohvale Junior Championship kini dipimpin oleh Aidil Zariff, yang sudah memungut 150 mata. Tempat kedua diduduki oleh Fahim Naufal dengan 97 mata; disusuli pula oleh Qasha Irfan dan Rishi Keishan Keshi, yang masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat dengan pungutan 79 dan 78 mata.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #FIMMiniGP #SepangCircuit

Sumber gambar: ZK Racing