FARISH HAFIY CIPTA KEJUTAN, PELUANG CERAH UNTUK KE VALENCIA
FARISH HAFIY CIPTA KEJUTAN, PELUANG CERAH UNTUK KE VALENCIA
September 18, 2023 3:14 am
SEPANG, 18 SEPTEMBER – Pusingan 4 FIM MiniGP Malaysia memperlihatkan kejutan apabila Farish Hafiy berjaya memenangi tiga daripada empat perlumbaan untuk meletakkan beliau di persada kejuaraan kelas 190cc dan berpeluang cerah untuk mewakili negara pada pertarungan World Finals di Valencia, Sepanyol November ini.
Selepas memenangi Perlumbaan 1 pada Sabtu lalu, Faris Hafiy melakukan kesilapan pada Perlumbaan 2 untuk menamatkan saingan di tempat keempat di belakang pemenang Emil Idzhar, Farres Putra dan Adi Putra. Namun, beliau bangkit kembali pada Perlumbaan 3 dan 4 untuk mencatat kemenangan walaupun dicabar hebat oleh Farres Putra, yang kini terpaksa menyerahkan hak memimpin kejuaraan kepada Farish Hafiy, yang juga rakan sepasukan beliau dan saingan kejuaraan Asia Talent Cup bagi musim ini.
Dengan berakhirnya Pusingan 4 yang penuh dramatik semalam, Farish Hafiy kini memimpin kejuaraan 190cc dengan mengutip 158 mata – dua mata di hadapan Farres Putra dengan berbaki satu pusingan lagi. Tempat ketiga menjadi milik Emil Idzhar dengan 120 mata. Pusingan akhir akan diadakan di litar yang sama iaitu Litar Go Kart Antarabangsa Sepang pada 7 dan 8 Oktober depan.
Sementara itu, saingan Pusingan 4 FIM MiniGP Malaysia Series 160cc menyaksikan juara bertahan, Qabil Irfan Azlan meneruskan dominasinya dalam kategori ini. Terpantas dalam sesi kelayakan, Qabil Irfan tampil hebat dengan memenangi kedua-dua perlumbaan semalam.
Mempamerkan kematangan tinggi untuk memenangi Perlumbaan 1, yang berubah menjadi acara pecut empat pusingan selepas dipendekkan kerana satu insiden perlumbaan dan kibaran bendera merah, Qabil Irfan tenang memenangi Perlumbaan 2 untuk mengatasi pencabar terdekat, Nguyen Viet Tuan dari Vietnam dengan kelebihan 6.370 saat, manakala tempat ketiga disandang oleh Airel Marzuki, yang ketinggalan 6.409 saat.
Qasha Irfan, adik kepada Qabil Irfan juga memberi kejutan dengan memenangi perlumbaan pertama beliau di perlumbaan 1. Pendahulu kejuaraan, Aidil Zariff, yang menduduki tempat kesembilan, bangkit untuk memenangi Perlumbaan 2 bagi mengukuhkan kedudukan beliau di persada kejuaraan. Walaupun dicabar hebat oleh Fahim Naufal dan Qasha Irfan, yang masing-masing mendapat tempat keempat dan pertama pada Perlumbaan 1, Aidil bijak untuk mengatasi pesaingnya untuk menang saingan 14 lap itu dengan masa 13 minit 41.183 saat, diikuti Fahim di tempat kedua dan Qasha di tempat ketiga.