haziq

FLSU 2023 MEDAN PENYATUAN SUKAN PELBAGAI BANGSA

FLSU 2023 MEDAN PENYATUAN SUKAN PELBAGAI BANGSA

September 19, 2023 8:28 am

PETALING JAYA, 19 SEPTEMBER – Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ke-60, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) kini sedang menganjurkan Kejohanan Futsal Liga Sukan Uniti (FLSU) 2023.

Dengan objektif menyatupadukan rakyat Malaysia menerusi sukan, kejohanan ini telah bermula sejak Sabtu lalu di beberapa lokasi iaitu sebahagian daripada program Liga Sukan Uniti anjuran KPN yang turut membabitkan tiga sukan lain seperti badminton, bola keranjang dan bola jaring.

FAM dipertanggungjawabkan untuk pengelolaan kejohanan FLSU 2023 bagi sukan futsal yang mana ahli-ahli gabungan di bawah badan ini bekerjasama dan menganjurkannya di negeri masing-masing.

Beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, Johor dan Sabah telah selesai penganjuran  pada 16 September lalu dan kini ia diadakan di Kedah dan Labuan pada 23 September, diikuti Kuala Lumpur/Putrajaya pada 24 September, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sarawak pada 30 September serta Perlis pada 1 Oktober dan Melaka pada 7 Oktober 2023.

“Setiap negeri yang menjadi penganjur FLSU 2023 itu diberikan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk mengelolakan kejohanan ini.

“Juara bagi setiap saingan peringkat negeri ini seterusnya layak beraksi di kejohanan FLSU 2023 peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung pada November depan.” jelas Datuk Noor Azman Hj Rahman, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan media hari ini.

Penganjuran FLSU 2023 diserikan lagi dengan syarat khas iaitu setiap pasukan bertanding, mereka diwajibkan menyenaraikan sekurang-kurangnya dua orang pemain berbangsa lain dalam senarai lapan pemain yang didaftarkan.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #FAM #KPN #FLSU2023 #HariMalaysia #FutsalMalaysia

Sumber gambar: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)