KUALA LUMPUR, 20 SEPTEMBER – Kejohanan tarian jalanan terbesar di Malaysia yang akan menampilkan penari berbakat di seluruh negara, Battleground Malaysia: Road To Gold bakal menemui peminatnya apabila ia mula ditayangkan bermula 29 September ini, pada setiap Jumaat, 10:00 malam, dalam siri enam episod di saluran Astro.
Battleground Malaysia: Road to Gold adalah inisiatif bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dikuasakan oleh nafas baharu jenama gaya hidup Rakan Muda, Rakan Ekspresi dan Rakan Muzik. Para peserta telah terpilih daripada ratusan permohonan oleh belia di seluruh negara pada uji bakat yang diadakan di AEON Mall Shah Alam pada Julai lalu.
Rancangan ini bertujuan untuk memberikan hiburan untuk semua rakyat Malaysia daripada semua peringkat umur, kerana ia akan diacarakan dalam tiga bahasa melalui Sherry Al-Hadad, Dennis Yin dan Saint TFC. Bagi memeriahkan lagi rancangan ini, pelakon, penyanyi rap dan juga pengacara, Zizan Razak turut didatangkan sebagai juri.
Seramai empat orang penari terkemuka dipilih sebagai kapten bagi merekrut pasukan masing-masing berdasarkan kemampuan tarian mereka. Kapten yang dipilih adalah Lego Sam, pemenang pingat sebanyak dua kali di Temasya Sukan SEA, Khenobu, yang juga adalah atlet B-Boy negara ke Sukan SEA, Danny Lee daripada Threee Production, dan Seven, juara Astro Battleground 2010 dan 2011. Mereka ditugaskan untuk membentuk dan menguji kemahiran individu pasukan masing-masing melalui pelbagai cabaran tarian.
“Breaking adalah sukan terbaharu yang diperkenalkan di Sukan Olimpik Paris 2024. Melalui kerjasama bersama Astro menerusi Battleground Malaysia: Road To Gold ini, KBS akan terus komited untuk membantu belia berbakat bagi mengukuhkan lagi bakat mereka dalam tarian dan seterusnya membawa mereka ke pentas global.
“KBS berharap agar Battleground Malaysia: Road To Gold dapat menjadi platform untuk mencungkil bakat belia Malaysia, memperkasakan mereka dengan peluang, bimbingan dan latihan oleh profesional, dan aspirasi untuk memupuk generasi baharu ke pentas dunia,” kata YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.
Astro akan mengadakan perlawanan akhir secara langsung pada 3 November, di mana hanya kru tarian terkuat akan bertanding di hadapan juri antarabangsa yang merupakan pakar dalam tarian. Pasukan yang berjaya memenangi pertandingan ini, bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM100,000, manakala naib juara akan membawa pulang RM30,000. Selain itu, individu dalam pasukan akan menentang satu sama lain bagi merebut hadiah tambahan sebanyak RM25,000.
Aksi pertandingan tarian jalanan terbesar di Malaysia, Battleground Malaysia: Road to Gold ini boleh ditonton di Astro RIA (CH104), Vinmeen (CH202) & SHOWCASE (CH413) pada setiap Jumaat, 10 malam mulai 29 September. Ia juga boleh distrim pada aplikasi Astro GO dengan episod tersedia atas permintaan. Penonton juga boleh menonton rancangan itu di Astro AEC (CH306) pada setiap Sabtu, 11 malam mulai 30 September.