SUPER SCHOOLS RUGBY: PERTEMBUNGAN DUA GERGASI RAGBI MUDA
SUPER SCHOOLS RUGBY: PERTEMBUNGAN DUA GERGASI RAGBI MUDA
September 21, 2023 3:57 am
SUBANG JAYA, 21 SEPTEMBER – Saingan Super Schools Rugby (SSR) bakal tiba di kemuncaknya apabila dua gergasi ragbi muda, Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dan Victoria Institution (VI) akan berentap dalam Grand Final SSR yang akan berlangsung pada 23 September ini bertempat di Padang Ragbi A, Universiti Putra Malaysia (UPM).
SEMASHUR Zealord menempah tiket ke final selepas menundukkan Maktab Tentera Diraja (MTD) dalam pusingan separuh akhir dan mencatatkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan. Skuad kendalian Mohd Hafizul Saiful Anuar itu bakal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi 2019 – kali terakhir SSR dilangsungkan adalah sebelum pandemik COVID-19.
Sementara itu, VI yang juga mahu mengejar kejuaraan kedua mereka sejak 2017 berhasil mara ke final selepas menang bergaya ke atas SMK King Edward VII (KE) dalam saingan separuh akhir. Pasukan pimpinan Rozhan Yahya ini merupakan pasukan yang menampilkan aksi paling konsisten sepanjang musim ini.
“Sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 2013 sehingga sekarang, SSR telah berjaya melahirkan beberapa pemain kebangsaan bagi pasukan ragbi variasi 15 sebelah. Saya percaya berdasarkan kualiti permainan individu dalam kejohanan ini, Malaysia tidak akan ketandusan pemain berkualiti pada masa akan datang.
“Perlawanan akhir ini bakal menyajikan aksi 100% daripada para pemain dan saya percaya mereka amat menghargai sokongan daripada semua pihak untuk menjulang piala pada sabtu ini,” kata Pengarah Kejohanan, Shahrizin Shaharudin.
SSR adalah sebuah kejohanan ragbi peringkat kebangsaan yang menampilkan aksi 15 sebelah di peringkat akar umbi. Kejohanan ini dianjurkan oleh Enervive Sports dengan kerjasama STAROBA, menampilkan 16 pasukan yang terdiri daripada sekolah-sekolah yang kaya dengan sejarah dan tradisi ragbi, bertanding bagi merebut kejuaraan.