fariszolkefli

EDISI SULUNG LIGA BOLING PADANG MALAYSIA BUKA TIRAI TAHUN DEPAN

EDISI SULUNG LIGA BOLING PADANG MALAYSIA BUKA TIRAI TAHUN DEPAN

September 27, 2023 4:47 am

KUALA LUMPUR, 27 SEPTEMBER – Buat julung kalinya, Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) akan menganjurkan kejohanan Liga Boling Padang Malaysia pada tahun depan.

Menurut Presiden PLBM, Datuk Awalan Abdul Aziz, kejohanan itu akan diadakan di lima zon seluruh negara iaitu utara, selatan, tengah, pantai timur dan Sabah serta Sarawak.

“Selain memberi lebih banyak pendedahan kepada pemain kebangsaaan untuk bermain, kejohanan ini akan menjadi platform bagi mencungkil bakat baharu sukan boling padang dari seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Team Malaysia World Bowls Championship & Champion of Champions, semalam.

PLBM turut mengumumkan akan menghantar Mohd Idham Amin Ramlan sebagai wakil perseorangan lelaki serta Aleena Ahmad Nawawi yang merupakan juara dunia pairs wanita bersama Nur Ain Nabilah pada Kejohanan Boling Padang Wanita 2023, ke Scotland pada Disember ini untuk menyertai Kejohanan Remaja Dunia 2023. Idham dan Aleena akan menyertai acara perseorangan dan juga bergandingan dalam acara pairs campuran.

Dalam majlis itu, gandingan emas Aleena-Nur Ain Nabilah dan pemenang gangsa acara pairs lelaki di kejohanan dunia, Izzat Shameer Dzulkeple-Mohd Soufi Rusli serta pemenang gangsa perseorangan wanita World Singles Champion of Champions, Nurul Alyani Jamil, menerima pakej umrah tajaan Affin Bank berjumlah RM20,000.

PLBM turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara atas sokongan dan bantuan sehingga skuad kebangsaan berjaya menyinar di Kejohanan Boling Padang Dunia 2023 dan Kejohanan World Singles Champion of Champions.

Awal September lalu, gandingan Aleena-Nur Ain Nabilah mencipta sensasi apabila berjaya menamatkan kemarau emas selama 15 tahun buat boling padang negara selepas berhasil menundukkan wakil Malta, Rebecca Rixon-Connie Rixon 15-12 pada Kejohanan Boling Padang Dunia, bertempat di Gold Coast, Australia.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang emas adalah pada tahun 2008 menerusi Safuan Said yang muncul juara bagi kategori perseorangan lelaki.

Sumber: BERNAMA

 Sumber Gambar: Malaysia Lawn Bowls Federation

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #LawnBowls #LawnBowlsMalaysia