fariszolkefli

LOTTE ALL STAR FUTSAL CHALLENGE 2023: NEW TODAY FC JULANG KEJUARAAN

LOTTE ALL STAR FUTSAL CHALLENGE 2023: NEW TODAY FC JULANG KEJUARAAN

September 29, 2023 7:28 am

KUALA LUMPUR, 29 SEPTEMBER – Acara sukan hiburan, LOTTE All Star Futsal Challenge 2023 Malaysia yang memanfaatkan populariti sukan futsal di Malaysia, menyaksikan dua pasukan iaitu New Today FC dan Better Tomorrow FC, yang dianggotai oleh 14 selebriti di negara ini bersaing dalam perlawanan yang disiarkan dalam empat episod di saluran YouTube LOTTE Group Malaysia.

Pasukan New Today FC yang diketuai oleh pelakon dan pempengaruh Redza Rosli, berhasil menundukkan Better Tomorrow FC 13-12 untuk menjulang kejuaraan, sekali gus berpeluang memilih sebuah pertubuhan masyarakat di Malaysia yang layak menerima sumbangan. Pasukan New Today FC memilih Persatuan Pengakap Malaysia untuk menerima sumbangan RM50,000 daripada LOTTE Group menerusi acara ini.

LOTTE All Star Futsal Challenge 2023 Malaysia adalah sebahagian daripada inisiatif serantau anjuran Daehong Communications – sebuah syarikat penyelesaian pemasaran penuh (sebahagian daripada LOTTE Group), dengan acara yang serupa turut diadakan di Indonesia dan Vietnam. Permainan mini dan perlawanan akhir boleh disaksikan di saluran YouTube LOTTE Group Malaysia.

“Kami teruja untuk menyampaikan sumbangan ini kepada Persatuan Pengakap Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami, seiring dengan cogan kata kami, New Today, Better Tomorrow (Hari Ini Baharu, Hari Esok Lebih Baik). Oleh yang demikian, kami lebih menumpukan usaha pembangunan masyarakat kami terhadap golongan muda.

 “Persatuan Pengakap Malaysia juga mempunyai matlamat yang sama dengan kami untuk membina Hari Esok Lebih Baik. Kami ingin merakamkan penghargaan kami kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesetiaan dan sokongan mereka terhadap LOTTE selama ini dan berharap All Star Futsal Challenge 2023 telah menghiburkan dan dinikmati oleh mereka,” kata Hailey Song, Pengurus Pasukan Jenama, LOTTE Group Korea.

Pasukan New Today FC dipimpin oleh Ketua Pasukan iaitu Redza Rosli, seorang pelakon dan pempengaruh Malaysia yang terkenal dengan lebih daripada 1 juta pengikut di media sosial. Redza disokong oleh pasukannya yang terdiri daripada Razin Rahim (pemain futsal profesional), Aniq Suhair (pelakon), Theeban (pelakon & atlet MMA), Nigel Chin (model), Daeng Syarif (penyanyi), dan Hoshi Chuan (pempengaruh).

“Kepada pasukan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sebagai ketua pasukan, saya bangga kerana dapat bekerjasama rapat dengan satu sama lain untuk mencapai kemenangan luar biasa ini. Saya berharap LOTTE Group memanggil saya untuk satu lagi perlawanan. Kalau ada rezeki, mungkin kita berpeluang pergi ke Korea Selatan,” kata Redza.

Pasukan Better Tomorrow FC diterajui oleh Ketua Pasukan iaitu Akim Ahmad, seorang penyanyi dan pelakon popular dengan lebih daripada 1.5 juta pengikut di media sosial. Akim disokong oleh Zeem Ahmad (pemain bola sepak gaya bebas), Zhen Ning (pelakon & model), Azim Yusof (pelakon), Thompson Goh (pencipta digital), Hilmanalef (pempengaruh), dan Zarrin Nuqman (pelakon).

Sumber Gambar: LOTTE Group

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Futsal #LOTTEAllStarFutsalChallenge2023