fariszolkefli

MCKK PREMIER 7S: ARAS MUNCUL JUARA KECEWAKAN SSMP

MCKK PREMIER 7S: ARAS MUNCUL JUARA KECEWAKAN SSMP

October 2, 2023 7:54 am

KUALA KANGSAR, 2 OKTOBER – Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga (ARAS) dari Selangor dinobatkan sebagai juara Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s (P7s) 2023 Edisi Ke-11 selepas menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) 24-0 dalam perlawanan akhir kategori Cup di padang Kolej Melayu Kuala Kangsar, semalam.

Lebih manis, dua pemain ARAS iaitu Anas Zulkarnain Mizan dijulang sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir manakala Wan Danial Syazwan Wan Zulkifli pula dianugerahkan Pemain Terbaik Kejohanan.

Sementara itu dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, ia dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn (THOR) apabila berhasil menundukkan juara edisi 2020, Maktab Sultan Abu Bakar (EC) 19-12.

Dalam aksi final kategori Plate pula, pasukan pilihan iaitu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) muncul juara selepas mengalahkan tuan rumah MCKK 20-12. SSTMI yang turun selaku juara empat kali kejohanan ini pada 2011, 2012, 2016 dan 2017 terkandas di peringkat suku akhir selepas tunduk 0-24 kepada SSMP. Nasib yang serupa dialami MCKK apabila disekat di peringkat suku akhir oleh EC yang menang dengan keputusan 7-20.

Bagi kategori Bowl pula, Sekolah Menengah Kebangsaan HOSBA (SMKH) muncul juara selepas menundukkan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 (SSYP1) 35-5.

Kategori Shield pula menyaksikan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman (ART) pulang dengan gelaran juara selepas menewaskan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dengan keputusan 17- 5. 

Sebanyak 24 pasukan menyertai Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s (P7s) Edisi Ke-11 termasuk dua pasukan luar negara iaitu Shizuoka Seiko Academy dari Jepun dan Sekolah Menengah Agama Darunnajah (SMAD) dari Jakarta, Indonesia. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Sumber Gambar: MCKK Premier 7s

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Rugby #MalaysiaRugby #MCKKPremier7s