fariszolkefli
KUALA LUMPUR, 3 OKTOBER – Bahang saingan musim baharu Netball Super League (NSL) 2023 kian dirasai apabila aksi pertama akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara bermula 13 Oktober hingga 5 November ini.
Saingan selama empat minggu itu melibatkan lapan buah pasukan iaitu Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Phoenix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips serta dua pendatang baharu iaitu Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamites bakal berentap untuk menjulang mahkota kejuaraan bagi edisi ketiga pada kali ini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria melihat inisiatif Astro dan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) menganjurkan NSL itu selaras dengan usaha kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melestarikan pembangunan sukan buat kaum hawa ini.
“MOM melihat inisiatif Astro dan PBJM menganjurkan NSL sejajar dengan cita-cita keluarga sukan negara untuk menjalin kerjasama erat dengan organisasi media serta stesen penyiar sebagai satu usaha mengkomersialkan sesuatu sukan.
“Menerusi NSL 2023 ini juga, Astro membantu keluarga sukan tempatan mempromosi nilai-nilai murni dalam pergerakan olimpik yang memperjuangkan hak sama rata atlet tanpa mengira jantina.
“Usahasama di antara PBJM dan Astro wajar diberi pujian bukan sahaja dalam memacu penglibatan wanita dalam sukan prestasi tinggi tetapi juga memastikan kesaksamaan gender diperkasakan dalam memartabatkan bola jaring sebagai sukan berprofil tinggi,” katanya ketika merasmikan NSL di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara pada Isnin.
Turut hadir Presiden PBJM, Alwiyah Talib, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John dan Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin serta barisan penaja.
Sementara itu, Alwiyah pula melahirkan rasa teruja apabila persaingan akan bertambah dramatik dan rancak dengan kehadiran 11 pemain import dari tujuh negara iaitu Uganda, Afrika Selatan, Singapura, United Kingdom, Thailand, Brunei dan Sri Lanka pada musim ini.
“Musim lalu menyaksikan dua pemain import dari Johor Jewels dan kini kelibat pemain import dari pasukan-pasukan lain seperti KL Wildcats, Putrajaya Dynamites, Perak Phoenix dan Negeri Sembilan Venom sebagai ‘penambah rencah’ NSL musim ini.
“Selain itu, rombakan besar-besaran pemain-pemain dari setiap pasukan terutama KL Wildcats serta kehadiran dua pasukan baharu Terengganu Marvels dan Putrajaya Dynamite tidak boleh dipandang sebelah mata memandangkan mereka memiliki ramai pemain bintang yang pasti memberikan tentangan sengit,” katanya.
Menurut Nicholas, Astro sentiasa komited dalam membantu meningkatkan lagi mutu sukan negara dan melalui NSL, penambahbaikan akan sentiasa dilakukan pada setiap musim bagi menaikkan nilai komersial dan jenama NSL hingga ke persada sukan serantau dan antarabangsa.
“NSL menerima sambutan hangat peminat apabila telah mencatat peningkatan hampir 35 peratus berbanding musim lalu di mana 3.5 juta tontonan berjaya dicatat di Astro Arena. Ini juga terbukti di platform digital, Astro GO dengan mencatat 1.7 juta tontonan menyaksikan peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Selain itu, interaksi dan peningkatan penggunaan di media sosial pula meningkat sehingga satu juta kadar penglibatan di Instagram, Twitter, Facebook dan Tiktok,” katanya.
Tambahnya lagi, kehadiran pemain import bukan hanya memberi impak positif terhadap mutu permainan, malah akan menarik lebih ramai peminat baharu dan penonton untuk menyaksikan aksi-aksi terbaik di NSL. Buat julung kalinya, NSL juga akan menembusi pasaran global apabila perlawanan-perlawanan terpilih akan disiarkan di W-Sports (saluran 815) dalam ulasan bahasa Inggeris.
Beliau turut mengharapkan lebih banyak badan-badan korporat, konglomerat tempatan dan antarabangsa tampil membantu memperkasakan lagi legasi sukan wanita paling popular di Malaysia ini.
Astro turut mengambil inisiatif untuk mengadakan Klinik NSL yang akan dikendalikan oleh pemain-pemain NSL yang juga adalah pemain kebangsaan di sekolah-sekolah terpilih bagi memberi peluang dan pengalaman berharga buat pelajar-pelajar mempelajari asas-asas sukan bola jaring dari peringkat akar umbi.
Selain itu, Astro Rewards – program kesetiaan pelanggan Astro pula menawarkan lebih 900 tiket percuma sepanjang NSL berlangsung dan ia boleh didapati dengan menyertai peraduan di aplikasi My Astro.
Peminat boleh mula membeli tiket di www.tickethotline.com.my pada 9 Oktober untuk menyaksikan NSL 2023 di Stadium Juara pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 13 Oktober hingga 5 November ini atau semua pelanggan Astro boleh menontonnya di Astro Arena (Saluran 801).
Kredit: Sinar Harian
Sumber Gambar: Netball Super League
#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Netball #NetballMalaysia #NetballSuperLeague2023