SEPANYOL, 5 OKTOBER – Kejohanan FIM JuniorGP kembali lagi dengan pusingan ke-6 bermula hari ini hingga 8 Oktober yang akan berlangsung di Litar Motorland Aragon, Sepanyol.
Selepas melalui hari yang sukar pada pusingan-5 di Catalunya pada Julai lalu, Hakim Danish dan Danial Syahmi tidak sabar untuk kembali beraksi di Aragon dan mempamerkan aksi cemerlang.
“Saya tidak sabar untuk kembali beraksi dalam European Talent Cup (ETC) pusingan ke-6 minggu ini. Saya ingin melakukan perlumbaan yang lebih baik berbanding di Catalunya pada Julai lalu. Saya sudah mempersiapkan diri saya dengan pelbagai latihan dan saya akan cuba lakukan yang terbaik dari seawal sesi latihan. Saya akan berikan yang terbaik dan jangan lupa doakan saya, juga Danial minggu ini,” kata Hakim.
Pada perlumbaan lalu, Hakim Danish menamatkan perlumbaan di tempat ke-17 dalam kategori ETC, manakala Danial Syahmi, yang bersaing dalam kategori JuniorGP menamatkan perlumbaan pertama di tempat ke-15 dan tidak berjaya menamatkan perlumbaan kedua (DNF). Kedua-dua pelumba negara ini nekad untuk meningkatkan prestasi mereka dalam perlumbaan minggu ini di Aragon.
“Saya sangat teruja untuk kembali berlumba dalam FIM JuniorGP. Saya yakin sesi latihan dari segi fizikal dan mental dapat membantu saya mempamerkan aksi yang terbaik minggu ini di Aragon. Saya tidak berjaya menamatkan perlumbaan di pusingan-5 Catalunya dalam perlumbaan 2, namun misi saya untuk perlumbaan minggu ini tetap sama, saya akan berikan yang terbaik dan cuba untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan yang terbaik. Jangan lupa untuk terus menyokong saya dan juga Hakim Danish untuk perlumbaan di Aragon ini,” kata Danial.
Sesi latihan tidak akan disiarkan secara langsung, tetapi ia boleh ditonton pada hari Ahad ini di laman media sosial FIM JuniorGP. Perlumbaan pertama ETC akan bermula jam 6 petang Waktu Malaysia, diikuti dengan perlumbaan kedua pada jam 9 malam. Perlumbaan JuniorGP pula akan berlangsung pada jam 7 petang.