PETALING JAYA, 10 OKTOBER – Wajib Tonton. Demikian gambaran yang seharusnya diberikan kepada filem Gemencheh Boys, sebuah filem inspirasi yang diadaptasi daripada kisah benar 6 budak FELDA Bukit Rokan Utara dan guru mereka, Cikgu Azman terbitan Astro Shaw bersama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures.
Filem yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 26 Oktober ini bukanlah filem sukan semata-mata namun ia turut mempertaruhkan jalan cerita penuh inspirasi disulami gelak tawa, perasaan bangga dan menyentuh hati dengan tema semangat setia kawan dan keupayaan untuk mencapai kejayaan.
Menerusi tagline ‘no retreat, no surrender’, Gemencheh Boys memaparkan kisah Shafiq dan lima sahabatnya semasa zaman persekolahan. Kenakalan mereka sering diperkatakan bukan sahaja di sekolah, tetapi dalam kalangan penduduk kampung.
Demi menjadikan mereka manusia berguna, Cikgu Azman bertanggungjawab untuk membimbing dan mendorong mereka menyertai pasukan kriket sekolah. Meskipun cikgu Azman tidak mempunyai asas tentang sukan yang dianggap elit itu, dia bertekad membimbing ‘6 jahanam’ – Shafiq, Rashid, Fauzi, Amin, Shukri dan Azad untuk bermain kriket, sekaligus mengubah kehidupan mereka.
Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kebangsaan Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017.
Gemencheh Boys adalah hasil arahan pemenang Cerita Asal Terbaik Festival Filem Malaysia 2017, Jason Chong bersama Eric Ong. Cerita asalnya diilhamkan oleh Jason dengan kerjasama Sky Khor untuk penulisan skrip.
Menurut Penerbit Eksekutif Gemencheh Boys merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, “Filem Gemencheh Boys adalah sebuah cerita Malaysia dengan karakter dan mesej yang amat dekat dengan masyarakat kita. Tema yang dipersembahkan membuktikan kita semua, tanpa mengira latar belakang, mampu meraih kejayaan serta menjadi luar biasa atas usaha dan kepercayaan.”
Antara pelakon berpengalaman yang memberikan ‘nyawa’ kepada filem ialah Pekin Ibrahim, Farah Ahmad dan Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar yang mempamerkan lakonan cukup meyakinkan. Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem ke-28, Pekin Ibrahim sekali lagi menonjolkan sisi berbezanya apabila membawa watak Cikgu Azman yang memerlukan dialog dalam dialek Negeri Sembilan. Selain itu, Gemencheh Boys menyandarkan wajah-wajah baru dalam arena lakonan sebagai tunggak utama Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq. Turut membintangi adalah Zaidi Omar, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin, Arumugam A/L Vedan dan penampilan istimewa Farah Fauzana.
Dalam erti kata lain, filem ini membuktikan kita sebagai rakyat Malaysia, tidak kira apa jua latar belakang, apabila meletakkan kepercayaan dan kesungguhan, pasti mampu meraih kejayaan – ‘from zero to hero’.
Gemencheh Boys juga mendapat sokongan daripada Malaysia Cricket Association dan Kementerian Belia Dan Sukan. Antaranya kolaborasi di acara julung kali diadakan di Malaysia, Internasional Cricket Counsil – ICC Men’s Cricket World Cup Trophy Tour.
Pembelian tiket Gemenchech Boys boleh dibeli awal di pawagam seluruh negara bermula 18 Oktober ini.