haziq

PIALA TUN ABDUL RAZAK KEMBALI JADI REBUTAN 25 PASUKAN

PIALA TUN ABDUL RAZAK KEMBALI JADI REBUTAN 25 PASUKAN

October 11, 2023 4:28 am

BUKIT JALIL, 11 OKTOBERKejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2023 membuka tirainya hari ini sehingga 21 Oktober 2023 dengan penyertaan sebanyak 25 pasukan.

Edisi tahun ini menyaksikan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan Stadium Hoki Konfederasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Lembah Pantai, Kuala Lumpur dipilih sebagai venue rasmi.

Kategori lelaki terdiri daripada 13 pasukan yang akan berentap memburu kejuaraan manakala kategori wanita dimeriahkan dengan penyertaan 12 pasukan yang dibahagikan kepada kumpulan A dan B.

Bagaimanapun terdapat beberapa pasukan tidak menyertai kejohanan pada kali ini antaranya Sarawak dan Kelantan bagi kedua-dua kategori, manakala Kedah hanya menghantar pasukan lelaki menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh.

“Pasukan Sabah pula tidak menghantar skuad lelaki. Kemungkinan negeri-negeri tersebut tidak menghantar wakil kerana tidak cukup persiapan serta pemain dan ada juga (pasukan) yang sedang membuat persiapan bagi perlawanan lain akan datang,” jelas beliau dalam sidang media semalam.

Kategori lelaki Piala Tun Abdul Razak 2023 menyaksikan penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perak, Johor, Terengganu, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selangor dan Kedah.

Bagi saingan wanita yang bertanding pula ialah Selangor, Pulau Pinang, ATM, Negeri Sembilan, Sabah, Perak, Melaka, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur, PDRM dan Johor.

Berikutan komitmen kepada pasukan kebangsaan, seramai 22 pemain daripada pasukan kebangsaan lelaki, 28 pemain daripada skuad junior lelaki dan 23 pemain kebangsaan wanita tidak dibenarkan menyertai kejohanan musim ini.

Untuk rekod, juara edisi lalu jadi milik Perak yang membelasah Pahang 5-1, manakala Selangor menjuarai kategori wanita setelah menewaskan Melaka 3-2.

Sebanyak dua aksi kategori wanita telah berlangsung pada sesi pagi tadi di Stadium Hoki Konfederasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Lembah Pantai, Kuala Lumpur menyaksikan ATM terikat tanpa jaringan dengan Pulau Pinang manakala Sabah membelasah Perak 4-1.

Sumber Gambar: Malaysian Hockey Confederation

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #TNBPialaTunAbdulRazak2023 #HokiMalaysia #MHC