SEM9 & AZRDN7XGAMING JULANG KEJUARAAN MEL23 PERINGKAT KEBANGSAAN
SEM9 & AZRDN7XGAMING JULANG KEJUARAAN MEL23 PERINGKAT KEBANGSAAN
October 16, 2023 10:04 am
PUCHONG, 16 OKTOBER 2023 – Liga Esukan Malaysia atau Malaysia Esports League 2023 (MEL23) Peringkat Kebangsaan kini telah bermula dengan judul PUBG Mobile dan eFootball Mobile membuka tirainya pada hujung minggu lalu, bertempat di ESI Hub, Spacerubix, Puchong.
Pasukan SEM9 dari Kuala Lumpur berhasil menjulang kejuaraan bagi judul PUBG Mobile, diikuti SEM9 Reject (Negeri Sembilan) di tempat kedua dan Yoodo Alliance (Selangor) di tempat ketiga. Manakala bagi judul eFootball Mobile ia menjadi milik AZRDN7XGAMING dari Pahang, diikuti Nathan (Johor) di tempat kedua dan Riefs Gaming (Perlis) di tempat ketiga.
Seterusnya, Liga Kebangsaan akan disambung pada minggu ini dengan judul permainan Mobile Legends: Bang Bang (Sabtu & Ahad, 21 & 22 Oktober).
Juara bagi setiap judul permainan di 13 buah negeri dan 3 wilayah persekutuan akan berkumpul di ESI Hub, Spacerubix, Puchong bagi merebut gelaran juara MEL23 Peringkat Kebangsaan dengan menawarkan hadiah wang tunai terkumpul hampir RM30,000.
MEL yang memasuki tahun ke-3 penganjuran pada tahun ini bakal menampilkan tiga (3) judul permainan di peringkat negeri dan kebangsaan iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PUBG Mobile dan eFootball Mobile, manakala bagi siri terbuka (open series), tiga (3) judul permainan akan dipertandingkan iaitu eFootball Console, Valorant dan Counter-Strike 2. Bagi kesemua enam (6) judul permainan yang akan dipertandingkan di MEL23, peserta bakal merebut hadiah wang terkumpul berjumlah RM 317,400.00.
MEL23 merupakan sebuah platform persaingan sukan elektronik yang kompetitif dan inklusif bagi bakat-bakat akar umbi tempatan yang dianjurkan oleh KBS dan Impact Integrated menerusi Esports Integrated (ESI) ke arah membina ekosistem sukan elektronik yang mampan dan inklusif, selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik KBS. MEL23 turut disokong 16 Persatuan Sukan Elektronik Negeri dan Wilayah Persekutuan, serta disokong oleh susu Goodday (Rakan Minuman Rasmi), Rakita 107.9 dan What’s The Meta (Rakan Media), Rakan Muda (Rakan Pelaksana) dan disokong oleh MPL Malaysia.