fariszolkefli

MTA CIPTA SEJARAH, ANJUR LIGA TEQBALL MALAYSIA

MTA CIPTA SEJARAH, ANJUR LIGA TEQBALL MALAYSIA

October 17, 2023 7:32 am

KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER 2023 – Buat julung kalinya, Malaysia Teqball Association (MTA) bakal mencipta sejarah baharu apabila Liga Teqball Malaysia 2023 (LTM 2023) akan dianjurkan pada 28 dan 29 Oktober ini bertempat di KL Gateway Mall Central Piazza, Kuala Lumpur dengan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM15,000.

LTM 2023 akan menampilkan tiga kategori melibatkan lelaki dan wanita individu, beregu lelaki dan wanita, dan beregu campuran. Setiap pasukan terdiri daripada empat hingga lapan orang pemain yang akan bertanding mengikut format round-robin. Pasukan yang berjaya menduduki tangga teratas liga akan dijulang sebagai juara.

LTM 2023 juga akan dijadikan sebagai acara kelayakan untuk pasukan Malaysia memasuki Kejohanan World Teqball Association Championships 2023 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 29 November hingga 3 Disember. Kejohanan global ini bakal menampilkan pemain terbaik di seluruh dunia bagi merebut kejuaraan.

“LTM 2023 mewakili bukan sahaja sebagai acaratunggal. Dengan Teqball sebagai sukan baharu dalam negara ini, LTM 2023 akan menjadi platform untuk pemain Teqball bersinar. Pertandingan ini bukan sahaja dapat memperkenalkan sukan Teqball, ia juga dapat mencungkil bakat dan kemahiran yang ada, serta menyatukan komuniti pemain dan peminat bagi memupuk semangat perpaduan sukan.

“Melalui sokongan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga para penaja, kami bercita-cita untuk mengembangkan lagi sukan ini di negara dan menarik minat golongan muda di dalam negara untuk menceburi sukan ini, sekali gus membantu pertumbuhannya,” kata Presiden MTA, KJ Siva.

Sejak pengenalannya di Malaysia pada tahun 2017, sukan Teqball tumbuh dengan pesat yang mana MTA ditubuhkan pada tahun 2018. Didorong oleh populariti sukan yang semakin meningkat, lapan pasukan dari Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, Perlis, dan Johor telah membentuk persatuan negeri masing-masing dan menganjurkan pertandingan liga peringkat negeri. Di peringkat antarabangsa, pemain Teqball Malaysia berjaya mencapai kejayaan yang baik dalam sukan ini dengan kejayaan meraih empat pingat perak dalam Kejohanan Teqball Pra-Sukan SEA 2023.

Sukan berasaskan bola sepak yang berasal dari Hungary ini mula diperkenalkan pada tahun 2012. Ia menggabungkan elemen bola sepak, sepak takraw, dan ping pong, dan dimainkan di atas meja melengkung khas yang dikenali sebagai meja Teq di mana pemain memukul bola sepak dengan menggunakan anggota tubuh mereka kecuali lengan dan tangan.

Dengan tokoh legenda bola sepak dunia seperti Ronaldinho, Christian Karembeu, Luis Figo, dan William Gallas dijadikan duta bagi sukan Teqball, ia secara langsung dapat menarik minat peminat professional dan juga amatur untuk meningkatkan kemampuan teknikal, tumpuan dan stamina mereka.

Sumber Gambar: Malaysia Teqball Association

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Teqball #TeqballMalaysia #LigaTeqballMalaysia2023 #MTA