ROMPIN, 18 OKTOBER 2023 – Pusingan Ketiga Malaysian Motocross Championship 2023 (MMC 2023) telah berlangsung dengan jayanya pada 14 hingga 15 Oktober 2023 dengan mempertandingkan tujuh kategori sedia ada dan ditambah lagi dengan dua kategori baharu bagi memeriahkan perlumbaan di Litar Motocross Bandar Tun Razak, Keratong tempoh hari.
Dalam kategori MX2, Muhammad Daud Mohammad Kasim yang juga merupakan pelumba tempatan, dinobatkan sebagai juara Pusingan Ketiga MMC, sekali gus menyaksikan beliau menggondol kejuaraan berturut-turut sejak perlumbaan pusingan kedua dan ketiga yang lepas.
Selain itu, Muhammad Daud juga tampil unggul dengan memenangi holeshot di awal perlumbaan dan meninggalkan rakan-rakannya jauh di belakang.
Pusingan ketiga ini menyajikan aksi-aksi luar biasa walaupun terpaksa berhadapan dengan keadaan trek yang agak mencabar kerana hujan di sebelah petang, sehingga ada beberapa pelumba yang tidak dapat meneruskan perlumbaan disebabkan kemalangan dan masalah jentera yang mereka hadapi.
Namun begitu, kesukaran yang dialami tidak sedikitpun melunturkan semangat rakan-rakan seperjuangan untuk meneruskan perlumbaan bagi mengumpul mata hingga ke akhir perlumbaan.
Malaysian Motocross Championship akan terus memperkasakan bakat-bakat muda untuk menjadi pelapis negara di peringkat antarabangsa. Pusingan Keempat dijadualkan berlangsung di Johor Bahru namun tarikhnya akan diumumkan dalam masa terdekat.