Faris Zolkefli

JACQUELIN KAUR PENDAKI TERMUDA MALAYSIA  TAWAN ‘EVEREST BASE CAMP’

JACQUELIN KAUR PENDAKI TERMUDA MALAYSIA  TAWAN ‘EVEREST BASE CAMP’

October 19, 2023 8:34 am

KUALA LUMPUR, 19 OKTOBER 2023 – Seorang kanak-kanak, Jacquelin Kaur yang juga merupakan anak kepada bekas atlet olahraga negara, Melinder Kaur, mencuri tumpuan ramai apabila dinobatkan sebagai pendaki termuda dari Malaysia berjaya menjejakkan kaki ke Everest Base Camp (EBC) setinggi 5,364m, bulan lalu.

Jacquelin yang berusia 6 tahun itu turut digelar sebagai dermawan termuda apabila berhasil mengumpulkan wang tunai sebanyak RM10,000 yang dibahagikan sama rata kepada Orphan Care Foundation dan World Vision Malaysia Assistance Fund untuk tujuan amal.

Pencapaian Jacquelin melakukan ekspedisi selama seminggu menuju ke EBC pada 10 hingga 16 September lalu, merangkumi jarak keseluruhan 130km telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records, semalam.

Ditemani oleh sekumpulan pendaki termasuk ibunya, melinder, Jacquelin meleburkan rekod terdahulu yang dipegang oleh Lee Min Qi, yang mencatatkan rekod itu ketika beliau berusia 10 tahun pada 2016.

“Kami mengucapkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada Malaysia Book of Records kerana memberi Jacquelin peluang untuk melakukan rekod ini dan mengumpul dana bagi tujuan amal.

“Kami juga ingin berterima kasih kepada KL Wellness City kerana memberi tajaan sebanyak RM10,000 kepada Jacquelin, yang mana ia turut didermakan kepada dua badan amal pilihan kami,” kata Melinder.

Sebagai seorang dermawan, Melinder juga berhasrat untuk memupuk Jacquelin menanam sifat membantu yang memerlukan bermula di usia muda. Walaupun ia kelihatan sukar pada mulanya, lama-kelamaan Jacquelin mulai faham maksud sebenar di sebalik kerja amal jariah.

Sumber Gambar: Melinder Sandhu

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #EverestBaseCamp