KUALA LUMPUR, 20 OKTOBER 2023 – Jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menanam hasrat untuk mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut di Sukan Para Asia Hangzhou 2022 yang akan membuka tirainya pada Ahad ini.
Ziyad hadir dengan reputasi tinggi selepas berjaya memenangi emas dalam dua edisi sebelum ini bermula di Incheon, Korea Selatan pada 2014 dan Jakarta, Indonesia pada 2018.
Menurutnya, program latihan yang disusun jurulatih sebelum ini sememangnya adalah untuk dia mempertahankan emas di Hangzhou.
“Tujuan latihan yang disediakan oleh jurulatih selama ini sememangnya untuk beri fokus kepada Sukan Para Asia. Sepatutnya temasya ini berlangsung tahun lalu tetapi ditunda kepada tahun ini.
“Jadi sesi latihan itu berterusan. Sasaran peribadi saya sememangnya mahu melakukan yang terbaik untuk dapat mempertahankan pingat emas yang pernah saya menangi lima tahun lalu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai persiapannya menghadapi Sukan Para Asia kali ini, Ziyad mendedahkan pelbagai cabaran terpaksa diharunginya terutama sekali perlu menunggu sehingga lima tahun bagi memastikannya kekal berada pada tahap terbaik untuk mempertahankan pingat emas.
“Semestinya cabaran yang dihadapi sangat sukar, macam-macam yang saya alami termasuk mengalami kecederaan. Bagi saya ia adalah perkara biasa dalam latihan atau kejohanan demi satu tujuan.
“Sekarang saya berada pada prestasi paling terbaik dan berharap dapat memberikan sesuatu kepada negara,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Ziyad telah berjaya melayakkan diri secara merit ke Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas meraih perak di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2023 di Paris, Julai lalu.