Faris Zolkefli

SUKAN TEMPUR DUNIA 2023: TAN CHEONG MIN UNGGUL DI PERSADA DUNIA

SUKAN TEMPUR DUNIA 2023: TAN CHEONG MIN UNGGUL DI PERSADA DUNIA

October 23, 2023 8:06 am

KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER 2023 – Ratu wusyu negara, Tan Cheong Min sekali lagi menampilkan keunggulannya di pentas dunia apabila mengharumkan nama Malaysia selepas merangkul pingat emas dalam acara kombinasi nanquan dan nandao wanita pada temasya Sukan Tempur Dunia 2023 di King Saud University di Riyadh, Arab Saudi, semalam.

Bekas juara dunia 2019 dan juga pemenang pingat perak dalam acara yang sama pada Sukan Asia Hangzhou 2022 bulan lepas, mengungguli saingan selepas mengumpul keseluruhan 19.486 mata.

Pingat perak menjadi milik atlet dari Uzbekistan, Darya Latisheva dengan meraih 19.292 mata, manakala gangsa menjadi milik wakil Iran, Hanieh Rajabi selepas mengumpul 18.950 mata.

“Kali ini saya mampu meraih pingat emas, kejohanan ini juga sebagai platform dan persiapan bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Texas, Amerika Syarikat pada November,” kata Cheong Min.

Dalam pada itu, Malaysia turut menuai gangsa dalam acara kombinasi jianshu dan qiangshu wanita menerusi Pang Pui Yee yang mengumpul keseluruhan 19.392 mata dalam saingan final. Pingat emas menjadi milik atlet dari Macau, Li Yi yang meraih 19.479 mata dan perak dimenangi oleh Zahra Kiani dari Iran yang memungut 19.396 mata.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi Tan Zhi Yan yang menamatkan final kombinasi taijiquan dan taijijian lelaki di kedudukan kelima dengan catatan 19.153 mata dan hasrat juara dunia 2017, Wong Weng Son untuk menghadiahkan pingat tidak kesampaian selepas mengakhiri final changquan lelaki di tempat keempat.

Sukan Tempur Dunia 2023 yang berlangsung dari 20 hingga 30 Oktober ini mempertandingkan keseluruhan 16 sukan tempur seperti aikido, lawan pedang, judo, karate, Muay Thai, sumo dan taekwondo.

Kredit: BERNAMA

Sumber Gambar: Wushu Federation of Malaysia

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Wushu #WorldCombatGames2023 #RiyadhWorldCombatGames2023