KUALA LUMPUR, 24 OKTOBER 2023 – Malaysia Esports League 2023 (MEL23) atau Liga E-sukan Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan menemui kemuncaknya apabila acara penutup iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama dua hari sejak 21 Oktober menutup tirainya semalam.
Negeri Selangor telah dinobatkan sebagai Juara MLBB Peringkat Kebangsaan malah turut membolot gelaran Most Valuable Player (MVP).
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula dinobatkan sebagai Juara PUBG Mobile Peringkat Kebangsaan manakala gelaran MVP bagi judul PUBG Mobile turut dirangkul oleh pemain dari pasukan yang sama. Bagi kategori eFootball Mobile, Pahang merangkul gelaran juara manakala pemain dari Johor diangkat sebagai MVP.
MEL23 Peringkat Kebangsaan mempertandingkan tiga kategori judul permainan iaitu PUBG Mobile, eFootball Mobile dan MLBB. Pertandingan kategori PUBG Mobile dan eFootball telah pun berlangsung pada 14 dan 15 Oktober lalu juga di ESI Hub.
Berbeza dengan tahun sebelumnya, acara final MEL23 Peringkat Negeri tahun ini dijalankan secara fizikal di lokasi negeri masing-masing dan juara negeri masing-masing akan bertanding secara fizikal semasa di Peringkat Kebangsaan. Pada tahun ini juga, MEL23 turut memperkenalkan pingat baharu iaitu Most Valuable Player (MVP) untuk semua judul permainan dari Peringkat Negeri, Kebangsaan dan Siri Terbuka.
“MEL23 Peringkat Negeri dan Kebangsaan telah berakhir dengan jayanya. Saya amat gembira melihat bakat-bakat muda dalam kategori-kategori e-sukan yang muncul menerusi platform MEL23, dan persaingan sihat yang mereka bawa untuk membanggakan negeri dan wilayah persekutuan mereka sememangnya amat memberangsangkan. Pertandingan berprestij kebangsaan seperti inilah yang boleh
membantu lebih banyak bakat-bakat baharu untuk cemerlang dalam dunia e-sukan,” kata Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated (ESI).
Seterusnya, MEL23 akan diteruskan lagi dengan Siri Terbuka MEL23 yang akan memperkenalkan judul permainan baharu seperti eFootball (konsol) dan Counter Strike 2. Siri Terbuka ini bakal berlangsung mengikut tarikh berikut: e-Football Console (3 – 4 November 2023), Valorant (3 – 5 November 2023) dan Counter Strike 2 (10 – 11 November 2023).
Bagi kesemua enam judul permainan yang dipertandingkan di MEL23, sebanyak RM317,400.00 bakal menjadi rebutan para pemain e-sukan.
MEL23 merupakan sebuah platform persaingan e-sukan yang kompetitif dan inklusif bagi bakat-bakat akar umbi tempatan yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan Esports Integrated (ESI) bersama-sama dengan 16 Persatuan e-sukan Negeri dan Wilayah Persekutuan, serta disokong oleh susu Goodday (Rakan Minuman Rasmi), Rakan Muda (Rakan Pelaksana) dan disokong oleh Rakita 107.0 serta MPL Malaysia.
Sumber Gambar: ESI
#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #MalaysiaESportsLeague #MEL23 #EsportsIntegrated #ESI