PERSEKUTUAN OLAHRAGA MALAYSIA TERIMA ‘TONIK’ PACU KECEMERLANGAN ATLET NEGARA
PERSEKUTUAN OLAHRAGA MALAYSIA TERIMA ‘TONIK’ PACU KECEMERLANGAN ATLET NEGARA
October 26, 2023 8:25 am
PETALING JAYA, 26 OKTOBER 2023 – Dengan misi utama iaitu memartabatkan sukan olahraga Malaysia secara keseluruhan dan menjanjikan atlet mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan karier mereka, Cahya Mata Sarawak Berhad dan Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) memeterai perkongsian strategik serta penajaan antara kedua-dua belah pihak.
Melalui perjanjian tersebut, Cahya Mata menjanjikan tajaan sebanyak RM5 juta kepada MAF selama tiga tahun berkuatkuasa dari 2023 hingga 2025 dengan memberi fokus kepada program pembangunan sukan olahraga dan akar umbi serta mempromosikan sukan itu di Malaysia.
Dalam masa sama, perkongsian strategik antara kedua-dua pihak ini bakal dilengkapi dengan sumber, latihan dan sokongan diperlukan dalam usaha memperkasakan kerjaya atlet negara termasuk menjaga kesejahteraan holistik atlet negara dengan memberi penekanan kepada peningkatan fizikal dan mental.
MAF bertapak sejak 1906 dan menjadi ahli gabungan Majlis Sukan Negara (MSN) sejak 1998 yang mana Persatuan ini telah memainkan peranan penting dalam pembangunan atlet Malaysia selama ini.
Hasilnya kem olahraga menyumbang tiga pingat buat Malaysia pada temasya Sukan Asia di Hangzhou, China baru-baru ini.
Perkongsian strategik antara Cahya Mata dan MAF turut memberi fokus dalam mempromosikan kepimpinan dan perwatakan dalam kalangan atlet dengan memberi penekanan kepada kualiti kepimpinan dan pembangunan sahsiah dalam diri atlet bagi membolehkan mereka mengekalkan profesionalisme serta penguasaan sepanjang kerjaya.
Pengerusi Kumpulan Cahya Mata, Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Mohd Zahidi Haji Zainuddin berkata, bagi mengukuhkan kerjasama ini berkata: “Perkongsian ini mencerminkan kepercayaan kami terhadap potensi atlet Malaysia. Komitmen kami adalah untuk memastikan bakat mereka dapat dimanfaatkan dalam melonjakkan prestasi demi mencapai kejayaan di pentas antarabangsa dan memperkasakan pencapaian Malaysia dalam sukan olahraga.”