KUALA LUMPUR, 30 OKTOBER 2023 – Edisi sulung Liga Teqball Malaysia 2023 (LTM 2023) melabuhkan tirainya dengan DBKL Hunter dijulang sebagai juara selepas berhasil menundukkan Negeri Sembilan Stag 3-2 dalam aksi final yang berlangsung di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur, semalam.
DBKL Hunter diberikan tentangan sengit oleh Negeri Sembilan Stag sehingga terpaksa diheret ke perlawanan penentuan bagi menentukan kejuaraan. Negeri Sembilan Stag mendahului permainan dengan mata pertama hadir melalui perlawanan Perseorangan Lelaki, sebelum DBKL Hunter mengikat kedudukan 1-1 melalui perlawanan Perseorangan Wanita.
Perlawanan ketiga Beregu Lelaki menyaksikan DBKL Hunter bangkit membenam Negeri Sembilan Stag untuk mendahului permainan 2-1 dan kedudukan kembali terikat menjadi 2-2 apabila beregu wanita Negeri Sembilan Stag membenam beregu wanita DBKL Hunter untuk mengheret permainan ke perlawanan penentuan.
Dalam aksi penentuan melibatkan aksi beregu campuran, duo campuran DBKL Hunter yang diwakili oleh Muhammad Eizlan Rakhli Abd Rahman dan Siti Asnidah Zamri berjaya menafikan impian Negeri Sembilan Stag dan menyumbangkan mata akhir buat DBKL Hunter bagi mengesahkan kejuaraan Liga Teqball Malaysia 2023; selaku juara, DBKL Hunter membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000, diikuti Negeri Sembilan Stag dengan RM7,000 dan Melaka Mavericks di tempat ketiga dengan RM5,000.
“Kemenangan pada hari ini adalah sangat bermakna kerana pemain-pemain yang kami ada merupakan staf DBKL, yang mana memang kita perlukan kemenangan ini. Kita ada tiga orang pemain kebangsaan dalam pasukan kami dan hasilnya, kami berjaya mendapat kejuaraan,” kata Mohammad Faizul Abdul Gaffar, jurulatih pasukan DBKL Hunter.
LTM 2023 dianjurkan oleh Malaysia Teqball Association (MTA) dan ia juga merupakan kejohanan kelayakan bagi menentukan pasukan kebangsaan untuk bersaing dalam World Teqball Championships yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada 29 November hingga 3 Disember ini.
Sebanyak lapan pasukan menyertai edisi sulung LTM 2023 iaitu DBKL Hunter, Negeri Sembilan Stag, Melaka Mavericks, Selangor Virtus, Kedah White Eagles, KPTM Raptors, Perlis Sky Teq, dan Johor Wonders. Setiap pasukan bersaing dalam format round robin dengan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Perseorangan Lelaki/Wanita, Beregu Lelaki/Wanita dan Beregu Campuran.