Faris Zolkefli

SELANGOR B DAN TERENGGANU B UNGGULI BOLING PADANG KEBANGSAAN

SELANGOR B DAN TERENGGANU B UNGGULI BOLING PADANG KEBANGSAAN

October 31, 2023 6:20 am

KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER 2023 – Pasukan Selangor B membuktikan kehebatan mereka apabila dijulang sebagai juara Kejohanan Boling Padang Kebangsaan kategori ‘fours’ di Arena Lawn Bowls, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Jumaat lalu.

Skuad yang diwakili Mohd Haikal Roslan, Azim Azami Mohd Ariffin, Muhammad Haiqal Azami dan Zulhilmie Redzuan mengecewakan impian tuan rumah, Terengganu C untuk menggondol kejuaraan, manakala Terengganu B dan Negeri Sembilan B masing-masing menduduki tempat ketiga.

Bagi kategori ‘fours’ wanita pula, pasukan Terengganu B yang diwakili Anies Ameera Ahmad Adzha, Nurul Najah Mohd Rustam, Nur Nabilah Athirah Mohd Rafee dan Nor Zamziezah Ahmad berjaya menewaskan PDRM A untuk muncul juara manakala pasukan Selangor A dan PDRM B masing-masing menduduki tempat ketiga secara bersama.

Menerusi kemenangan itu, juara dua kategori itu meraih wang tunai RM3,000 berserta piala pusingan dan medal manakala naib johan dan ketiga masing-masing mendapat wang tunai RM2,000 dan RM1,500 berserta medal.

Bagi kategori ‘singles’ lelaki, atlet Perak D, Izzat Shameer Dzulkeple mencuri tumpuan selepas muncul juara menewaskan atlet Selangor C, Mohd Haikal Roslan manakala tempat ketiga bersama menjadi milik atlet Perlis, Daeng Dhadyry Dahasry dan atlet Perak A, Mohammad Lokman Mohd Isa.

Bagi kategori ‘singles’ wanita pula, atlet Selangor F, Nor Farah Ain Abdullah dinobat sebagai juara selepas menyingkirkan atlet tuan rumah, Terengganu C, Nur Ain Kemilia Sukri manakala tempat ketiga bersama disandang atlet Pahang A, Nurul Alyani Jamil dan atlet Sekolah Sukan Malaysia Terengganu, Anis Ainur Fatin Bakar.

Juara masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,500 berserta piala pusingan dan medal manakala naib juara meraih wang tunai RM1,000 dan ketiga bersama mendapat RM750.

Hadiah kepada pemenang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, turut hadir Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz dan timbalannya, Datuk Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Sementara itu, Datuk Awalan Abdul Aziz berikrar untuk berjuang habis-habisan bagi memastikan sukan boling padang dapat dipertandingkan pada temasya Sukan Asia di Nagoya, Jepun pada 2026. Beliau yang juga Presiden Persekutuan Boling Padang Asia menegaskan perjalanan bagi memastikan sukan itu dapat dilangsungkan di negara Matahari Terbit giat dilakukan sehingga kini.

Terdahulu sukan boling padang tidak dapat dipertandingkan pada temasya Sukan Asia 2023 edisi ke-19 di Hangzhou, China baru-baru ini disebabkan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan. Mengikut syarat yang ditetapkan, sekurang-kurangnya 20 negara perlu menjadi ahli dan wajib bernaung di bawah Persekutuan Boling Padang Asia bagi membolehkan sukan itu dapat dilangsungkan di pentas Sukan Asia.

Berdasarkan perkembangan terkini, hanya 15 negara sahaja yang menjadi ahli dalam Persekutuan Boling Padang Asia sekali gus menyaksikan sukan yang semakin meningkat di Malaysia itu tidak dapat dipertandingkan.

Sumber gambar: Persatuan Boling Padang Selangor

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #LawnBowls #BolingPadang #KejohananBolingPadangKebangsaan