KUALA LUMPUR, 3 NOVEMBER 2023 – Kejohanan Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 membuka tirainya secara rasmi pada hari ini, dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim bertempat di Dewan Sri Putra, Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil.
Kejohanan ini merupakan acara kemuncak penganjuran LSK yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) di seluruh negara dan disertai sebanyak 15 buah negeri yang akan berentap merebut kejuaraan.
LSK telah bermula pada bulan Julai hingga November 2023 dengan sasaran penyertaan seramai 62,228 orang merangkumi semua peringkat penganjuran iaitu daerah, negeri dan kebangsaan dan melibatkan empat jenis sukan iaitu futsal, bola jaring, sepak takraw dan bola keranjang,
Pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan sijil yang mana majlis penutup dijadualkan akan berlangsung pada 5 November 2023 (Ahad), jam 3.00 petang di Dewan Sri Putra, Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli, “Mesti ada (penambahan acara), kita akan lihat kepada sambutan yang diterima sebab seperti yang saya sebutkan sebelum ini, di peringkat daerah tak semestinya terhad kepada empat jenis sukan yang kita pertandingkan di sini (peringkat kebangsaan).
Turut hadir menyerikan majlis perasmian adalah YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) JBSN, Encik Abd Aziz Abd Rahman.