KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER 2023 – Sebanyak 14 pasukan yang terdiri daripada 9 pasukan lelaki dan 5 pasukan wanita telah mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan COBRA 10s 2023 edisi ke-50 yang akan berlangsung pada 11 dan 12 November ini, bertempat di Padang Astaka, Petaling Jaya.
Kategori lelaki akan menyaksikan pertembungan 6 buah negara iaitu Malaysia, Australia Fiji, New Zealand, Afrika Selatan dan Papua New Guinea. Manakala bagi kategori wanita, menyaksikan pertembungan pasukan dari Malaysia dan Singapura.
“Selaras dengan objektif kami untuk mempromosi sukan ragbi, khususnya ragbi 10 sebelah, kami dengan bangganya menganjurkan kejohanan COBRA 10s edisi ke-50 pada tahun ini,” kata Presiden COBRA, Darryll Sinappa ketika majlis sidang media yang berlangsung di Rumah Kelab COBRA, pagi tadi.
Pasukan COBRA akan bersaing sebagai juara bertahan, diletakkan dalam kumpulan C bersama-sama pasukan Casuarina Cougars (Australia) dan Global Lions (New Zealand); yang mana setiap pasukan akan bersaing dalam pusingan-robin.
Kelab ragbi COBRA yang ditubuhkan pada tahun 1967 merupakan sebuah kelab ragbi ternama di Malaysia dan di bawah kelola Kesatuan Ragbi Selangor dan Kesatuan Ragbi Malaysia; COBRA telah berjaya melahirkan ramai pemain di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.