fariszolkefli

DAMOK TAK MAHU KECEWAKAN PEMINAT DI SEPANG

DAMOK TAK MAHU KECEWAKAN PEMINAT DI SEPANG

November 8, 2023 7:06 am

KUALA LUMPUR, 8 NOVEMBER 2023 – Selepas seminggu berehat, pusingan perlumbaan kembali dengan perlumbaan Home Race buat pelumba ZK Racing. Pusingan ke-18 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada 10 hingga 12 November ini merupakan pusingan pertama untuk tiga minggu perlumbaan berturut-turut sebelum Kejohanan Dunia Motosikal Grand Prix 2023 menutup tirai.

Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok, menyatakan bahawa beliau sudah tidak sabar untuk beraksi di hadapan peminat-peminat sukan dua roda dan memberikan yang terbaik sepanjang perlumbaan berlangsung.

“Seminggu berehat adalah peluang yang baik sebelum kembali untuk tiga perlumbaan berturut bermula di Sepang minggu ini. Tentunya saya teruja dan tidak sabar untuk beraksi di home race saya, di hadapan peminat-peminat, juga keluarga. Litar Antarabanga PETRONAS Sepang adalah salah satu litar yang saya biasa dan faham, jadi saya harap saya dapat memberikan yang terbaik dan menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin,” kata Damok.

Damok juga positif dan akan terus fokus untuk memberikan saingan yang kompetetif dalam perlumbaan hujung minggu ini serta menyasarkan untuk meraih mata berharga di hadapan peminat-peminat sukan dua roda di tanah air sendiri. Perlumbaan Moto3 dijadualkan pada hari Ahad dengan 15 pusingan, bermula pada jam 12 tengah hari waktu Malaysia.

Minggu ini juga turut berlangsung perlumbaan kedua terakhir buat Idemitsu Asia Talent Cup (ATC). Empat pelumba negara, Farish Hafiy, Farres Putra, Ahmad Darwisy, dan Adi Putra juga tidak sabar untuk mempamerkan aksi cemerlang di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang; di mana perlumbaan 1 ATC dijadualkan berlangsung pada hari Sabtu jam 4.10 petang dan perlumbaan 2 pada hari Ahad jam 9.45 pagi.

Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang menganjurkan perlumbaan pertama Kejohanan Motosikal Grand Prix pada tahun 1999 dan kekal sehingga kini dalam kalendar MotoGP. Litar yang mempunyai kepanjangan 5.54km, dengan 10 selekoh kanan serta 5 selekoh kiri ini tidak asing lagi dengan aksi-aksi perlumbaan yang menarik dan mendebarkan.

Sumber gambar: ZK Racing

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #MalaysianMotoGP #Moto3 #AsiaTalentCup #ZKRacing #PETRONASSepangInternationalCircuit