SMK SHAH ALAM JULANG PIALA SUMBANGSIH DATO’ MOKHTAR DAHARI B-15
SMK SHAH ALAM JULANG PIALA SUMBANGSIH DATO’ MOKHTAR DAHARI B-15
November 9, 2023 7:32 am
SHAH ALAM, 9 NOVEMBER 2023 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam menewaskan SMK Dato’ Harun, Tanjung Karang, 1-0 untuk menjulang Piala Sumbangsih Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari Bawah 15 tahun (B-15) 2023 yang berlangsung di padang sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, Shah Alam, Rabu lalu.
Menurut pengendali skuad B-15 SMK Shah Alam, Akid Zanggi, beliau menyifatkan kemenangan pasukannya itu adalah hasil daripada kerja keras pemain walaupun mendapat tentangan sengit pihak lawan, dan kemenangan sulung pasukannya dalam aksi Piala Sumbangsih itu juga menjadi pemangkin untuk mempertahankan Piala Dato’ Mokhtar Dahari tahun ini.
“Kemenangan yang diraih hari ini bukan mudah mungkin kerana faktor cuaca yang agak panas pada separuh masa pertama.
“Namun, pada separuh masa kedua, kami berjaya mempamerkan permainan lebih tersusun dan memperolehi gol pada penghujung perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, saingan peringkat kumpulan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 bermula pada Rabu hingga 4 Disember. Pasukan dibahagikan kepada lapan kumpulan yang menyaksikan setiap kumpulan mengandungi empat pasukan.
Juara dan naib juara kumpulan layak ke pusingan kedua yang akan berlangsung pada 27 November. Diikuti dengan perlawanan suku akhir pada 29 November, separuh akhir pada 1 Disember dan perlawanan akhir pada 4 Disember.