fariszolkefli

SKUAD KANU NEGARA INTAI SLOT KE KEJOHANAN DUNIA DI SINGAPURA

SKUAD KANU NEGARA INTAI SLOT KE KEJOHANAN DUNIA DI SINGAPURA

November 10, 2023 7:30 am

KUALA LUMPUR, 10 NOVEMBER 2023 – Seramai 35 orang atlet akan menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Kanu Polo Asia 2023 yang berlangsung di Marina Bay, Singapura bermula hari ini hingga 12 November.

Pada kejohanan kali ini yang menawarkan tiket ke Kejohanan Dunia 2024, Malaysia menyertai empat kategori iaitu Terbuka Lelaki dan Wanita serta Bawah 21 tahun (B-21) Lelaki dan Wanita.

Menurut Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca), Raja Shahrul Azremel Raja Sahar, skuad negara meletakkan sasaran menduduki tangga ketiga dalam kategori terbuka lelaki.

“Ketika ini Malaysia menduduki ranking keempat Asia di belakang Jepun, Taiwan dan Iran. Pada Kejohanan Asia ini, kita meletakkan sasaran tempat ketiga keseluruhan. Untuk makluman, Jepun dan Taiwan sudah pun melayakkan diri ke Kejohanan Dunia kerana kedua-dua pasukan itu berada dalam kelompok 12 terbaik pada edisi lepas.

“Jadi masih ada satu lagi slot Asia untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia. Saya berharap kita dapat capai sasaran tiga terbaik,” kata Raja Shahrul.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menyertai kejohanan dwitahunan itu yang diadakan sejak tahun 1985 adalah pada edisi 2019 di Deqing, China. Ini merupakan kali kelapan Malaysia menghantar kontinjen beraksi pada Kejohanan Kanu Polo Asia dengan sandaran diletakkan kepada beberapa atlet berpengalaman.

Raja Shahrul Azremel memberitahu, Malaysia mempertaruhkan Muhammad Haikal Suliaman dan Amirul Azfar Azwan dalam kategori Terbuka Lelaki serta Aimi Ayuni Azwan dan Marina Muzafa bagi kategori Terbuka Wanita.

“Bagi kategori B-21 Lelaki pula kita meletakkan sandaran kepada Muhammad Qhaisy Irfan Rasidi dan Muhammad Haiqal Hisam, manakala Azlyn Farhana Muhammad Azmi Tan dan Siti Nurqasrina Syahzanani Mustafa dalam kategori B-21 Wanita,” jelasnya.

Kejohanan Kanu Polo Dunia 2024 dijadualkan berlangsung di Deqing, China dari 15 hingga 20 Oktober tahun depan.

Sumber: Sinar Harian

Sumber gambar: Malaysian Canoe Polo

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #CanoePolo #AsianCanoePoloChampionship2023