KUALA LUMPUR, 14 NOVEMBER 2023 – Buat julung kalinya, sebuah perlumbaan dron FPV (First Person View) di Trek Vertikal Tertutup iaitu Drone Race Asia (DRA) International FPV Drone Racing akan diadakan pada 1 hingga 3 Disember 2023 ini, bertempat di Plaza Low Yat, Bukit Bintang.
Acara ini adalah hasil kerjasama Magic Beans Alchemy Sdn Bhd dan DRA Drone Racing Club, sebuah persatuan sukan berdaftar kebangsaan yang beroperasi di bawah Akta Pembangunan Sukan 1996 (Akta 576); dengan menganjurkan dua kategori iaitu DRA Rookie (pemula) dan DRA Captain (profesional) bersama hadiah wang tunai terkumpul sebanyak USD5,000 sebagai buruan.
“Menerbangkan dron FPV adalah pengalaman paling mengujakan. Dengan ledakan kemajuan teknologi terkini, impian penyertaan penuh melalui gogal FPV kini menjadi kenyataan. Ia adalah sukan baharu yang menggabungkan realiti-maya dan pastinya pengalaman pelumba dan penonton, akan sama-sama teruja dan menyeronokkan,” kata Johnson Yap, Presiden DRA Drone Racing Club.
Setakat ini, beberapa nama besar perlumbaan dron di peringkat domestik dan antarabangsa telah mengesahkan penyertaan iaitu Christian Van Sloun (Amari) dan Hugo Marco Lopez (Racer250). Turut bersaing adalah Juara Junior FAI WDRC 2023, Minjae Kim, Worawit Subsri (PEPPER FPV), MultiGP Global Qualify Malaysia 2023, Ko Kuan-Cheng (Koco), Juara Kelas Super Prix Dron Antarabangsa Korea 2023, dan Amiruddin Bin Mohamad Khairi (AMKFPV), Juara Liga Dron Malaysia.
Perlumbaan ini akan menonjolkan ketangkasan juruterbang lumba dron melalui arah pandu tiga dimensi yang sangat sukar, mencabar dan pastinya memerlukan kemahiran teknikal yang tepat untuk melepasi setiap cabaran rumit yang tersedia di trek vertikal.
“Acara ini akan menjadi pembuka mata dan lebih ramai rakyat Malaysia akan dapat merasai pengalaman mengujakan menyaksikan perlumbaan dron. Acara rintis ini akan menjadi pembuka jalan bagi mencapai matlamat kami untuk menjadikan sukan ini lebih mudah diakses dan popular di Malaysia,” kata YY Choy, Pengarah Magic Beans Alchemy Sdn Bhd.
Matlamat acara tiga hari ini adalah untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk cakna mengenai perlumbaan dron, yang juga adalah sukan yang penuh dengan aksi, strategi dan daya fikir yang tinggi. DRA bakal memulakan siri acara perlumbaan dron di peringkat global, dan Malaysia menjadi negara terawal untuk mengambil bahagian.