KUALA LUMPUR, 17 NOVEMBER 2023 – Lima pelumba FIM MiniGP Malaysia Series akan menggalas tanggungjawab membawa nama Malaysia ke pentas berprestij, FIM MiniGP World Series Final yang akan berlangsung di Valencia, Sepanyol bermula pada minggu hadapan.
Malaysia diwakili oleh Farish Hafiy dan Emil Idzhar, manakala Adi Putra akan menggantikan Farres Putra yang mengalami kecederaan semasa perlumbaan Asia Talent Cup minggu lepas bagi kategori 190cc. Turut bersaing adalah Qabil Irfan dan Airel Marzuki dalam kategori 160cc yang akan dipertandingkan di litar Ricardo Tormo, bagi menentukan siapakah yang akan bergelar juara dunia bagi FIM MiniGP World Series anjuran Dorna; promoter kejuaraan MotoGP.
Mengulas penyertaan negara pada FIM MiniGP World Series Final pada tahun ini, pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata kelima-lima pelumba bakal bersaing dengan berbekalkan persiapan rapi dan pengalaman lebih mendalam bagi memastikan keputusan yang membanggakan tahun ini.
“Secara keseluruhan, untuk tahun ketiga ini kita lebih bersedia dari aspek pelumba, juga jangkaan kita, dan dengan siapa yang kita akan berlumba. Jadi, saya harap pasukan Malaysia pada tahun ini akan beraksi dengan cemerlang di kedua-dua kategori iaitu 160cc dan 190cc,” kata Zulfahmi.
Kejuaraan yang dijadualkan bermula pada 21 November dengan latihan bebas dan bersaing menggunakan jentera Ohvale; sesi kelayakan akan diadakan pada 22 November sebelum perlumbaan berlangsung pada 23 November untuk menobatkan juara dunia musim 2023 bagi kedua-dua kelas 190cc dan 160cc.
Bersaing dalam kelas 190cc yang diperkenalkan untuk musim 2023, ini adalah kunjungan kedua ke World Finals untuk Farish Hafiy, Emil Idzhar, dan Adi Putra yang pernah bersaing dalam kategori 160cc sebelum ini. Manakala Qabil Irfan, yang berusia 11 tahun menjadi sandaran utama negara untuk saingan kelas 160cc pada tahun ini, juga kembali untuk kali kedua selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan tahun lepas dengan menempatkan diri di tempat keempat keseluruhan.
Bagi Airel Marzuki, ini merupakan kejuaraan kali pertama peringkat dunia selepas memenangi tiket untuk kejuaraan dunia, yang menghimpunkan pelumba terbaik daripada kejuaraan siri MiniGP dari Alpe Adria, Australia, Austria, Kanada, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Malaysia, Portugal, Qatar, Sepanyol, Amerika Syarikat dan United Kingdom.