KUALA LUMPUR, 20 NOVEMBER 2023 – Walaupun terpaksa bersaing dalam cuaca sejuk iaitu lima darjah selsius dengan tiupan angin kuat, ia bukanlah penghalang buat atlet mendayung negara, Muhammad Shukri Sulaiman untuk meraih pingat emas acara single scull CM1X lelaki Kejohanan Mendayung Masters Pesisir Pantai Regata Asia 2023 bertempat di Qingdao, China hujung minggu lalu.
Shukri yang merupakan bekas atlet mendayung Sukan SEA negara menamatkan saingan dalam jarak 1.6 kilometer (km) dengan catatan masa 10 minit 33.19 saat (s) bagi kategori Masters C (had umur 43-49) mengetepikan wakil tuan rumah, Wang Xuegang dan Lin Yi di tempat kedua dan ketiga.
Kejuaraan peringkat Asia anjuran Persekutuan Mendayung Asia (ARF) itu menyaksikan sembilan negara mengambil bahagian iaitu tuan rumah, China, Indonesia, Kuwait, Malaysia, Myanmar, Thailand, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.
Pasukan mendayung negara yang terdiri daripada tiga atlet lelaki dan tiga wanita turut merangkul gangsa menerusi Nur Afiqah Zamia Sumeri dalam acara Masters A (had umur 27-35) Single Scull Wanita CW1X.
Afiqah Zamia sebelum itu bersama gandingan Mohd Arif Ashraf, Nurafika Nordin, Muhammad Aiman Aziz dan Nurul Amira Norhadi menambah koleksi gangsa bagi acara Masters A campuran coxed quad CMix4X.
Sebagai rekod, mendayung pesisir pantai adalah acara baharu dalam sukan mendayung, selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan kemasukan Mendayung Pecut Pantai, antara satu format Mendayung Pesisir Pantai dalam program Sukan Olimpik Los Angeles 2028 bersama dengan acara Mendayung Klasik.
Menurut Presiden Perdama, Norhadi Ishari, ini merupakan kali ketiga Malaysia menyertai kejohanan mendayung pesisir pantai. Kemenangan atlet Malaysia dalam kejohanan Asia Masters ini memberi peluang dan harapan kepada Perdama dalam pencarian pingat emas sukan SEA dan kelayakan ke Sukan Olimpik.
“Perdama akan mengambil kesempatan ini untuk membudayakan mendayung pesisir pantai sebagai sukan kebangsaan di mana negara kita mempunyai banyak pantai semula jadi yang cantik untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa.
“Ini secara tidak langsung menjana pendapatan ekonomi menerusi sports tourism dengan kos penganjuran yang jauh lebih rendah berbanding acara mendayung mendayung klasik yang memerlukan lokasi air seperti empangan dan tasik buatan besar yang menelan kos yang tinggi dan sukar diakses oleh pendayung,” katanya.